ADIB TUNJUK TARING DI JEMPOL

Di kategori Wira KBS Pusingan 8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan, Md Adib Arsyad Md Hisam dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING berjaya mencatat masa terpantas di sesi kelayakan.

Pada sesi latihan 2, pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Farres Putra Md Fadhil mendominasi litar apabila mencatat masa terpantas 46:690s menempatkan Md Adib Arsyad Md Hisam dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING yang mencatatkan 46:846s diikuti Md Akif Abdullah dari HONDA KC RACING pada 47:142s di tempat kedua dan ketiga.

Pada sesi kelayakan, walaupun Farres berjaya menunjukkan peningkatan, namun catatan masanya 46:683s sekadar menempatkan dirinya di tempat ketiga, di bawah Adib yang mencatat masa terpantas 46:426s, diikuti Md Akif di tempat kedua pada 46:523s.

Adib berkata, “Untuk sesi kelayakan tadi, saya berpuas hati, tetapi kami masih mencari ‘setup’ yang sesuai untuk perlumbaan. InsyaAllah, kami akan cuba memberikan yang terbaik. Sudah tentu, saya ingin mengejar mata kerana saya menyasarkan gelaran juara keseluruhan. Namun, dalam setiap perlumbaan, saya ingin menikmati pengalaman tersebut dan tidak mahu terlalu memikirkan mengenai mata kejuaraan. Bagaimanapun, saya akan berusaha sehabis baik. Litar ini sudah tiga tahun saya berlumba, dan saya sangat menyukainya kerana ia sangat mencabar dan mempunyai banyak ‘rolling’ yang menarik.”