fbpx

ADAM MENAMBAHKAN MATA UNTUK PASUKANNYA


Md Adam Haikal Jahar dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing mengambil tempat pertama bagi kategori Wira KBS di pusingan ketujuh Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu.

Persaingan yang sengit di antara pelumba-pelumba kategori ini berakhir apabila Adam yang memulakan perlumbaan di grid kelima mempersembahkan suatu aksi yang hebat dalam usahanya untuk menyambar tempat pertama.

Sepanjang perlumbaan, walaupun rakan sepasukannya, Md Danish Aiman Zamrul yang kelihatan mempertahankan kedudukannya di P1, namun satu kesilapan yang dilakukan oleh Danish dan pelumba-pelumba di hadapan akhirnya memberikan Adam peluang untuk mengambil alih kedudukan P1.

Dari lap kesepuluh sehingga ke lap terakhir, Adam berjaya mempertahankan kedudukannya dan menamatkan perlumbaannya dengan catatan masa 10’34:413s.

Menurut Adam, “Saya amat berterima kasih kepada pasukan saya yang telah menyediakan jentera yang sangat bagus untuk saya. Sememangnya strategi kami adalah untuk meningkatkan jumlah mata keseluruhan pasukan namun begitu, pada akhirnya hanya saya berjaya di podium kali ini.”

Tempat kedua di ambil oleh Md Farish Iqmal Elyas dari pasukan Honda KC Racing. Farish bermula di petak grid keenam tetapi beliau telah mengukuhkan kedudukannya di kedudukan tiga teratas di lap pertama dan menjelang lap kedua, beliau berjaya menduduki P1. Sepanjang perlumbaan, Farish kelihatan berusaha untuk mempertahankan kedudukannya. Walaupun perlumbaan tersebut sengit, Farish berjaya tampil ke P2 di lap kesepuluh dan secara konsisten menamatkan perlumbaannya di tempat kedua. Beliau menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 10’35:927s.

Tempat ketiga pula adalah milik Md Farish Hafiy Sezli dari pasukan Idemitsu Honda Yam Racing.  Walaupun beliau telah memulakan perlumbaan di petak grid kedua, Farish jatuh ke kedudukan keempat di lap kedua. Sepanjang tujuh lap seterusnya, beliau tidak mampu kembali ke kedudukan tiga teratas. Tetapi pada lap kesepuluh, Farish mendapat peluang untuk mengorak langkah ke P3. Ini merupakan peluang baginya untuk menaiki podium buat kali pertama. Farish hanya perlu mempertahankan kedudukannya dan beliau berjaya apabila mencatatkan masa 10’36:017s.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,