Azroy Hakeem Anuar menganggap konsistensi pelumba amat penting dalam situasi persaingan CP150 semakin meningkat dari tahun ke tahun

AZROY AZAM KEKAL KONSISTEN

Pelumba Honda Yuzy Idemitsu Team, Azroy Hakeem Anuar menganggap konsistensi pelumba amat penting dalam situasi semasa yang baginya persaingan CP150 semakin meningkat dari tahun ke tahun.

“Setiap tahun saingan CP150 sentiasa meningkat dan bagi saya konsistensi merupakan kuncinya jadi matlamat saya bagi perlumbaan di Tangkak nanti akan cuba sehabis baik untuk kumpul mata sebanyak yang mungkin,” ujar Azroy yang kini mendahului kedudukan keseluruhan kelas premier itu.

Anak didik Shahrol Yuzy ini mula memimpin carta CP150 sejak 4 pusingan lalu apabila melakar kemengan pertama di Litar Sepang Utara musim ini ketika saingan Pusingan 3. Beliau kini mengumpul 103 mata hasil dari empat podium dan dua kemenangan.  

Mendahului pencabar terdekat dengan jurang 32 mata berbaki 4 pusingan, Azroy dilihat enggan meletakkan dirinya dalam kedudukan yang selesa. Sebaliknya beliau tetap akan cuba memberikan sepenuh usaha untuk mengutip sebanyak mungkin mata pada hujung minggu ini.

“Litar Lumba Tangkak bukan litar kegemaran bagi pelumba jentera Honda dan juga saya, namun pasukan kami akan memberikan 100% usaha kami di sana nanti”, kata Azroy mengakui Litar Lumba Tangkak tidak berpihak kepada jentera Honda.

Pada perlumbaan terakhir di litar ini pada musim lalu, Azroy berjaya menjejakkan kaki ke podium setelah menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam perlumbaan penuh mendebarkan yang berlangsung dalam suasana hujan.

Azroy akan meneruskan misinya menjadi Juara CP150 Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia di Litar Lumba Tangkak bagi perlumbaan Pusingan 7 dan 8 yang akan berlangsung pada 5 hingga 7 November ini. 

 

 

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *