Deruman jentera kelas CP125 sentiasa menjanjikan aksi perlumbaan yang mendebarkan, namun bagi penunggang muda pasukan IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM, Raiyan Khardanee M Sanusi, Pusingan 4 di Stadium Negeri Pulau Pinang minggu lalu meninggalkan satu tanda tanya besar. Memiliki kelajuan yang cukup luar biasa dan megah berada dalam senarai kelompok lima terpantas, namun takdir perlumbaan menyaksikannya terpaksa akur menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10.
Apa sebenarnya yang berlaku di sebalik tirai kelajuan tersebut? Menjawab kemusykilan itu, Raiyan tampil merungkai situasi perit yang dihadapinya di litar.
“Sejujurnya, saya bergelut mencari pelarasan terbaik sejak awal saingan Pusingan 4. Walaupun berjaya memecah masuk kelompok lima terpantas, hari perlumbaan sebenar adalah realiti yang berbeza. Masalah ketara pada bahagian hadapan jentera ibarat ‘mengikat’ kelajuan saya. Saya sukar mengekalkan rentak kelajuan, ditambah pula dengan beberapa kesilapan peribadi, ia menutup ruang untuk saya mengejar kelompok hadapan yang semakin melarikan diri.”
Namun, di sebalik kejatuhan posisi itu, wujud sinar potensi yang tidak boleh dipandang remeh. Kelajuan yang dipamerkannya membuktikan kemahiran Raiyan dan kemampuan jentera berada di landasan yang tepat untuk menggegar musim 2026.
“Alhamdulillah, di sebalik cabaran, ia tetap satu permulaan yang membanggakan buat saya dalam kempen CP125 tahun ini. Hakikatnya, saya masih dalam fasa transisi untuk menyesuaikan diri dengan keluarga baharu di IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM. Kelajuan di Pusingan 4 membuktikan jentera kami ada ‘bisa’. Namun, untuk mencabar pelumba-pelumba otai yang jauh lebih berpengalaman, saya wajib menajamkan lagi ketahanan fizikal dan mental. Selepas ini, fokus utama saya adalah mencari pelarasan dengan lebih pantas dari sesi latihan agar jentera tidak terseksa ketika aksi final.”
Memiliki tiket kelajuan untuk mendaki podium tetapi terpaksa pulang di tempat ke-10 pastinya merobek emosi seorang pelumba. Namun, jiwa pejuang Raiyan enggan mengalah.
“Bohonglah kalau saya katakan saya tidak kecewa saat melihat bendera penamat tempoh hari. Terasa ralat yang amat sangat di dalam hati. Tetapi, kekecewaan itu tidak akan sesekali memadamkan api semangat saya. Saya jadikan kepahitan ini sebagai guru paling berkesan. Saya akan telan kekecewaan itu, kekal berfikiran positif, dan bangkit dengan semangat yang lebih membara,” tegasnya.
Saingan Pusingan 5 bakal menggegarkan Litar Permotoran Terengganu pada hujung minggu ini. Karakter litar yang amat teknikal dan terkenal menyeksa tayar jentera menuntut persiapan paling rapi.
“Momentum kelajuan di Pusingan 4 adalah peluru semangat utama saya. Litar Permotoran Terengganu memang sebuah litar yang sukar, tetapi kami tidak goyah. Kami baru sahaja selesai menjalani latihan intensif semata-mata untuk menguji dan mencari pelarasan paling sempurna bagi menakluk litar tersebut.”
Menjelang hujung minggu ini, Raiyan meletakkan misi. “Secara realistik, sasaran saya adalah untuk sentiasa konsisten mencabar kelompok hadapan sejak sesi pertama. Jika rezeki menyebelahi dan semuanya berjalan lancar, impian terbesar saya adalah bertarung bermati-matian untuk memecah masuk ke kelompok podium dan menebus segala kekecewaan lalu demi pasukan!”

