Gelombang keterujaan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 kini bersedia membadai Pantai Timur! Menjelang Pusingan 5 yang bakal menggegar Litar Permotoran Terengganu pada 28 dan 29 Ogos ini, mata dan tumpuan peminat pemotoran akan terarah kepada pendahulu takhta kategori WIRA, Nuzzul Ady Muhammad Sudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING.
Berbekalkan rentak kemenangan sulung yang masih panas menyala dari Stadium Negeri Pulau Pinang dua minggu lalu, kehadiran Ady ke Terengganu bukan sekadar sebagai pencabar, tetapi dengan misi mempertahankan takhta dan meluaskan empayar kekuasaannya!
Sebelum ini, Ady seakan-akan ‘terkunci’ dengan gelaran naib juara, menamatkan Pusingan 1, 2, dan 3 di tempat kedua berturut-turut. Namun, kemarau kemenangan sulungnya sejak bergelar pelumba sepenuh masa WIRA pada 2025 akhirnya lebur di Stadium Negeri Pulau Pinang.
“Alhamdulillah, saat jentera saya melintasi garisan penamat pada perlumbaan tempoh hari, perasaan itu seolah-olah satu beban gergasi telah terangkat dari bahu. Lega, gembira, dan sebak semuanya bercampur baur. Selepas tiga kali berturut-turut sekadar merenung dari kedudukan kedua, rezeki kemenangan itu akhirnya tiba. Segala titik peluh terbayar,” luah Ady.
“Memang menduduki P2 tiga kali berturut-turut benar-benar menguji kesabaran dan mendesak jiwa untuk mengejar kemenangan pantas. Tetapi saya memaksa diri untuk tidak gopoh, fokus satu perlumbaan pada satu masa, dan kekal tenang. Kuncinya adalah tidak membuat kesilapan bodoh semata-mata kerana terlalu lapar akan kemenangan.”
Keupayaannya menukar kedudukan naib juara kepada sang juara nyata didorong oleh keserasian jentera yang optimum.
“Kami belajar dari setiap kesilapan. Perbezaan terbesar semestinya lonjakan keyakinan dan keserasian jentera yang kini semakin ‘sebati’ dengan gaya tunggangan saya. Rahsia konsistensi 100 peratus di podium musim ini terletak pada disiplin keras dan komunikasi bersama kru mekanik yang sentiasa mencari ruang penambahbaikan,” tambahnya.
Hasil disiplin tinggi tersebut, Ady kini gah mendahului kedudukan keseluruhan dengan 85 mata, meninggalkan pencabar terdekatnya, Md Darwish Amsyar M Ridzwan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM dengan kelebihan selesa 32 mata. Namun, menjelang Pusingan 5 minggu ini, kelalaian tidak sesekali dibenarkan berlaku.
“Kelebihan 32 mata itu sememangnya menyuntik keyakinan yang luar biasa. Tetapi, mata boleh berubah sekelip mata dan musim masih jauh. Saya enggan dibuai zon selesa. Momentum di Pulau Pinang adalah pemangkin motivasi, namun di Terengganu nanti, sasaran utama tetap kemenangan. Saya akan memburu kedudukan tertinggi, namun pada masa yang sama, saya perlu berlumba dengan bijak demi melindungi mata kejuaraan.”
Litar Permotoran Terengganu menjanjikan cabaran teknikal yang berbeza, dan Ady sudah bersedia menanganinya.
“Saya sangat menantikan aksi di Terengganu. Karakter litar ini sangat unik dan menuntut tahap konsistensi tunggangan yang tertinggi. Berbekalkan pengalaman berlumba di sana sebelum ini, saya dan pasukan sudah merangka perancangan strategik untuk menawan setiap selekoh.”
Tiada kejayaan yang hadir tanpa sokongan, dan Ady menujukan kemenangan ini buat wira-wira di belakang tabir.
“Kejayaan ini bukan milik saya seorang. Ia adalah lambang keringat seluruh kru PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING, pengurusan, para mekanik, serta doa tanpa henti daripada keluarga dan penyokong. Di Terengganu nanti, saya akan berikan segalanya untuk memastikan senyuman kemenangan ini terus terukir!”

