IRFAN AKAN TERUS MENGGANAS

Penantian yang diiringi air mata dan keringat selama enam tahun akhirnya berbaloi. Apabila Md Irfan Haykhal Amidi melintasi garisan penamat di Stadium Negeri Pulau Pinang pada 16 Ogos lalu, beliau bukan sekadar memenangi perlumbaan Pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026. Beliau telah memecahkan ‘badi’ tanpa kejuaraan pasukan TAB SPORTS SCK HONDA RACING yang berlanjutan sejak 2020. Kejayaan ini juga melakar sejarah peribadi yang cukup manis buat Irfan apabila ia merupakan pentas sulung beliau menjejakkan kaki di puncak podium kelas elit CP150 sejak menyertainya dua tahun lalu.

Kejayaan di Pusingan 4 itu bukan sekadar kemenangan biasa, malah ia adalah sebuah kelegaan emosi yang amat mendalam buat dirinya dan keluarga. “Syukur Alhamdulillah, setelah masuk tahun kedua saya dalam CP150 ini, akhirnya saya dapat menjulang trofi pertama dan kedudukan P1. Sukar nak digambarkan perasaan saya kerana kemenangan ini bukan sahaja saya yang menunggu, tapi ayah dan keluarga yang nak sangat melihat saya di atas podium. Saya sangat gembira dan bertambah yakin saya mampu buat serta akan berusaha lebih lagi,” kongsi Irfan.

Kemenangan bersejarah itu turut merawat duka pasukannya yang sekian lama bergelut mencari rentak juara. Bagi Irfan, melihat reaksi pemilik pasukan, Soong Chee Keong atau lebih dikenali sebagai Pak Keong, adalah detik yang tidak ternilai harganya.

“Kemenangan ini amat bermakna buat seluruh kru pasukan setelah enam tahun menanti. Kita dapat lihat senyuman bos setelah enam tahun beliau tidak dapat naik ke podium. Dia juga mengucapkan tahniah pada saya. Tak lupa juga buat kru mekanik yang dah bertungkus-lumus menyediakan jentera terbaik dan memberi keyakinan bahawa saya boleh buat yang terbaik.”

Mengimbau kembali aksi perlumbaan tempoh hari, percaturan berani Irfan sebenarnya telah mula dirasai lebih awal. Keserasian jentera yang cemerlang menjadi kunci utama kebangkitannya di litar. “Dari awal dan sesi Superpole lagi, jentera saya memberi kerjasama yang sangat baik. Dari situlah saya mula yakin yang saya mampu berikan aksi sehabis baik. Walaupun pada waktu permulaan perlumbaan saya ada buat silap sedikit, tapi saya yakin saya mampu untuk terus memecut ke hadapan.”

Kemenangan ini pastinya menjadikan Irfan sasaran utama pencabar lain menjelang Pusingan 5 di Litar Permotoran Terengganu pada minggu ini. Namun, beliau kekal tenang dan menolak sebarang unsur tekanan. “Tidak tertekan, cuma saya harus membuat persiapan lebih dari segi mental dan fizikal. Saya sentiasa ingat pesan ayah saya: pelumba lain pun makan nasi bukan makan besi, jadi jangan takut untuk bersaing. Itu yang saya pegang dan selebihnya saya serah pada rezeki. Kejayaan ini memberi semangat baharu untuk saya terus berusaha untuk menang lagi dan lagi.”

Berbekalkan semangat juang yang membara, Irfan hadir ke Litar Permotoran Terengganu bukan lagi berstatus pencabar biasa, tetapi sebagai pemenang yang sedang dahagakan kejuaraan berterusan. “Bagi saya, Litar Permotoran Terengganu tidak berapa sukar. Saya akan cuba cari tetapan motor secepat mungkin dan serasi dengan litar untuk menduduki podium. Terima kasih tak terhingga buat semua yang menyokong, terutama ayah yang banyak berkorban melihat saya berjaya dalam sukan ini. Saya akan sentiasa ingat pesan ayah dan abang yang sering memberi semangat di setiap perlumbaan.”