Pelumba HONDA CASTROL POWER 1 YUZY RACING, Azroy Hakeem Anuar mempamerkan tunggangan memukau apabila mengungguli sesi kelayakan keseluruhan kategori CP150 sempena Pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Stadium Negeri Pulau Pinang, hari ini. Azroy merakam masa terpantas 53.232s pada Kelayakan 2 untuk mengenepikan barisan pencabar dalam usaha mencatat masa terbaik di litar yang cukup mencabar ini.
Persaingan di litar terbukti amat sengit apabila Azroy hanya dipisahkan dengan margin masa yang sangat tipis berbanding dua seterunya dari kem TAB SPORTS SCK HONDA RACING. Md Irfan Haykhal Amidi muncul pencabar terdekat di kedudukan kedua keseluruhan dengan masa 53.249s, manakala rakan sepasukannya, Md Helmi Azman melengkapkan kelompok tiga terbaik menerusi catatan 53.326s. Ketiga-tiga pelumba handalan ini mencatatkan masa pantas mereka tatkala sesi Kelayakan 2 berlangsung dalam keadaan cuaca panas dan persaingan trek yang mendebarkan, sekali gus membuktikan kualiti saingan yang cukup tinggi pada hujung minggu ini.
Dominasi cemerlang Azroy bermula seawal sesi Latihan Bebas lagi apabila beliau selesa mendahului Kumpulan A dengan masa 54.215s. Rentak laju itu berjaya dikekalkan dalam sesi Kelayakan 1 menerusi catatan 53.531s, sebelum beliau melakukan lonjakan terakhir yang luar biasa pada sesi Kelayakan 2 untuk mengesahkan penguasaannya serta memberi amaran awal yang kepada pesaing-pesaing menjelang saingan Super Pole.
Dalam pada itu, cabaran dari jentera Yamaha turut memberi bayangan saingan sengit dan tidak boleh dipandang mudah. Nazirul Izzat Md Bahauddin mewakili PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR mengekori rapat di kedudukan keempat keseluruhan menerusi rekod 53.447s yang dicatatkan pada sesi Kelayakan 2. Sementara itu, kelajuan Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING pada sesi Kelayakan 1 dengan masa 53.511s juga cukup ampuh untuk menempatkan dirinya di kedudukan kelima terpantas keseluruhan, membuktikan aksi pelumba dari Kumpulan B juga tidak kurang hebatnya.
Azroy berkata, “Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan perkembangan positif hari ini. Dari segi persiapan jentera, seluruh pasukan telah bekerja keras untuk mencari pelarasan kuasa yang lebih optimum. Hasilnya, saya dapat rasakan motor ini mempunyai ‘semangat’ dan tahap kuasa baharu yang amat memberangsangkan. Perkara ini membuatkan saya berasa lebih yakin, selesa, dan sangat gembira ketika beraksi di litar tadi.”
“Walau bagaimanapun, hari ini baru hari Sabtu, ia sekadar sesi ujian dan kelayakan, bukannya penentu segalanya. Esok adalah hari penentu yang sebenar dan perlumbaan. Harapan saya, kami dapat mengekalkan momentum dan konsistensi cemerlang ini hingga ke garisan penamat. Menariknya, kami tidak menggunakan sebarang komponen baru, sebaliknya ia adalah berkat ‘sentuhan magis’ dan ketelitian pasukan mekanik yang berjaya memberikan kita sedikit kelebihan berbanding pesaing lain. Saya berazam untuk memanfaatkan pelarasan terbaik ini dan memberikan tunggangan seratus peratus untuk pusingan ini.”
TOP 5 FASTEST – COMBINED QUALIFYING
- AZROY HAKEEM ANUAR – HONDA CASTROL POWER 1 YUZY RACING (53.232s)
- MD IRFAN HAYKHAL AMIDI – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (53.249s)
- MD HELMI AZMAN – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (53.326s)
- NAZIRUL IZZAT MD BAHAUDDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (53.447s)
- AHMAD AFIF AMRAN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (53.511s)

