Saingan Pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Stadium Negeri Pulau Pinang hari ini menyaksikan kebangkitan luar biasa pelumba IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM, Md Khairi Asyraf Mahmood, yang mempamerkan aksi dominan untuk muncul sebagai pelumba terpantas keseluruhan bagi kategori CP125.
Mempamerkan tunggangan penuh agresif pada sesi penentuan, Khairi melakar masa cemerlang 53.982s dalam sesi Kelayakan Kumpulan B. Beliau mencipta kejutan apabila muncul sebagai satu-satunya pelumba yang berjaya memecahkan halangan masa 53 saat sepanjang sesi kelayakan berlangsung. Kejayaan ini hadir selepas permulaan yang mencabar pada awal hari, di mana beliau bergelut untuk mencari rentak dan gagal menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik pada sesi Latihan Bebas 1.
Rentak kecemerlangan Khairi mula terserlah pada sesi Latihan Bebas 2 apabila beliau mula menemui keserasian lalu melonjak ke kedudukan kedua dengan catatan masa 54.434s. Momentum positif itu terus digempur apabila beliau memerah kelajuan maksimum jenteranya pada sesi Kelayakan, membolehkannya terus menyingkirkan barisan pencabar utama yang lain daripada kedudukan teratas.
Pencabar terdekatnya, Md Syamil Amsyar M Iffende dari pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING mempamerkan aksi yang sangat konsisten pada awalnya setelah berjaya mengungguli sesi Latihan Bebas 1 dengan catatan masa 54.647s dan Latihan Bebas 2 pada 54.205s bagi Kumpulan B. Walau bagaimanapun, kehebatan Khairi pada sesi Kelayakan memaksa Syamil berpuas hati di kedudukan kedua keseluruhan menerusi catatan masa kelayakannya pada 54.152s.
Sementara itu, persaingan di Kumpulan A turut menjanjikan pertempuran yang mendebarkan. Pada sesi pagi, Arash Tsunami Kamarudin dari AHM IPONE RACING TEAM pantas mencuri tumpuan dengan mendahului Latihan Bebas 1 dengan catatan masa 54.881s. Namun, pelumba ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM, Md Idlan Haqimi Raduan membuktikan kredibilitinya apabila bangkit mengungguli sesi Latihan Bebas 2 dengan 54.537s. Idlan cemerlang mengekalkan rentak pantas itu untuk menguasai sesi Kelayakan Kumpulan A menerusi catatan 54.210s, sekali gus meletakkan dirinya di kedudukan ketiga terpantas secara keseluruhan.
Melengkapkan senarai lima pelumba terpantas gabungan kelayakan adalah Md Farid Hakimi Farid Sezli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING di tempat keempat dengan catatan 54.375s, diikuti rapat oleh pelumba ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM, Md Farish Iqmal Khayrul Elyas di kedudukan kelima dengan masa 54.433s. Kesemua pelumba di kelompok hadapan ini hanya dipisahkan dengan jurang perpuluhan saat yang sangat kecil, memberikan gambaran awal tentang persaingan untuk penentuan petak utama iaitu sesi Shoot Out dan perlumbaan akhir esok.
Khairi berkongsi, “Semestinya saya berasa sangat gembira dan lega dengan keputusan hari ini. Pada awal sesi tadi, saya sebenarnya agak bergelut untuk mendapatkan pelarasan dan keserasian yang tepat dengan jentera. Namun, berkat kesabaran dan hasil kerja keras seluruh pasukan, syukur Alhamdulillah saya berjaya juga merakamkan catatan masa yang terpantas secara keseluruhan.”
“Perancangan untuk hari esok, fokus pertama saya adalah untuk mengekalkan momentum ini dan memberikan tumpuan sepenuhnya dalam sesi ‘Shoot Out’ demi mengesahkan kedudukan petak utama. Selepas kedudukan itu terjamin, fokus saya beralih sepenuhnya kepada perlumbaan sebenar. Saya tahu persaingan akan menjadi sangat sengit, tetapi saya berazam untuk berjuang habis-habisan, mengekalkan konsistensi, dan mencuba sedaya upaya untuk menaiki podium buat pasukan.”
TOP 5 FASTEST – COMBINED QUALIFYING
- MD KHAIRI ASYRAF MAHMOOD – IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM (53.982s)
- MD SYAMIL AMSYAR M IFFENDE – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (54.152s)
- MD IDLAN HAQIMI RADUAN – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (54.210s)
- MD FARID HAKIMI FARID SEZLI – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (54.375s)
- MD FARISH IQMAL KHAYRUL ELYAS – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (54.433s)

