Saingan Kelayakan Pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di litar Stadium Negeri Pulau Pinang hari ini menyaksikan Raja Abdurraqib Raja Norfatihah dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING mempamerkan tunggangan bertenaga dan keserasian menakjubkan bersama jenteranya apabila berjaya menyambar petak utama kategori WIRA.
Abdurraqib mempamerkan pecutan maksimum pada saat akhir sesi Kelayakan untuk mencatat masa terpantas 54.532s. Catatan itu meleburkan hasrat Md Fairil Hazmi Farid Sezli dari IGOL BROTHERS 7 TECH RACING yang terpaksa berpuas hati bermula di kedudukan kedua esok dengan catatan 54.692s. Rakan sepasukan Abdurraqib, Nuzzul Ady Muhammad Sudin turut garang melengkapkan kelompok tiga terpantas menerusi masa 55.028s, menjanjikan dominasi awal kem PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING di litar teknikal ini.
Terdahulu, saingan kategori WIRA dilihat sangat terbuka bermula dari sesi Latihan Bebas 1 yang didominasi oleh Ahmad Malek Ridha dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING dengan masa 56.110s. Rentak persaingan bertambah panas pada Latihan Bebas 2 apabila Fairil mula memacu pantas merakam masa 54.942s, manakala Abdurraqib mengekori rapat di tempat kedua. Namun, percaturan pelarasan jentera yang tepat pada penentuan kelayakan membolehkan Abdurraqib melakukan lonjakan sekalilgus merampas petak pertama. Melengkapkan kelompok lima terpantas kelayakan adalah Adam Danial Abdul Fattah dari ESTREMO PITSBIKE YAMAHA FVZR TEAM pada 55.116s dan Md Airel Ahmad Marzuki dari HONDA RS MEGATECH RACING TEAM dengan catatan masa 55.117s.
Abdurraqib “Alhamdulillah, syukur atas rezeki petak utama hari ini. Sepanjang sesi Kelayakan tadi, saya dapat rasakan satu keserasian yang luar biasa dengan jentera. Pelarasan yang disediakan oleh pasukan berfungsi dengan sangat sempurna. Sejujurnya, ketika memasuki pusingan terakhir tadi, perasaan saya sudah kuat mengatakan bahawa saya mempunyai kelajuan yang cukup untuk merampas petak pertama. Tanpa sokongan, komitmen, dan kerja keras tanpa henti daripada seluruh pasukan, keputusan ini mustahil untuk dicapai. Terima kasih yang tidak terhingga buat mereka.”
“Bercakap tentang cabaran di litar ini, ia bukanlah sesuatu yang mudah. Karakter trek di sini agak teknikal dan cuaca yang panas terik benar-benar menguji ketahanan fizikal dan jentera. Oleh itu, saya terpaksa mengawal emosi dan gaya tunggangan agar tidak terlalu agresif. Fokus utama saya tadi bukan sekadar mencatat masa pantas, tetapi juga memastikan saya dapat menyimpan ketahanan tayar untuk perlumbaan sebenar esok.”
“Untuk perlumbaan esok, saya menjangkakan satu pertempuran yang sangat mendebarkan. Jika kita lihat pada carta, catatan masa semua pelumba sangat rapat. Barisan pencabar lain, terutamanya Fairil dan rakan-rakan yang lain pasti akan memberikan tekanan yang hebat. Namun, saya sudah bersedia sepenuhnya dan sasaran utama saya adalah untuk menamatkan perlumbaan di atas podium.”
TOP 5 FASTEST – QUALIFYING
- RAJA ABDUQRRAQIB RAJA NORFATIHAH – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (54.532s)
- MD FAIRIL HAZMI FARID SEZLI – IGOL BROTHERS 7 TECH RACING (54.692s)
- NUZZUL ADY MUHAMMAD SUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (55.028s)
- ADAM DANIAL ABDUL FATTAH – ESTREMO PITSBIKE YAMAHA FVZR TEAM (55.116s)
- MD AIREL AHMAD MARZUKI – HONDA RS MEGATECH RACING TEAM (55.117s)

