KHAIRI: KEKECEWAAN JADI BAHAN API KEBANGKITAN

Hampir sebulan telah berlalu sejak bendera penamat dikibarkan di Dataran Seri Jempol bagi Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026. Namun bagi pelumba IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM, Md Khairi Asyraf Mahmood, episod pada pusingan terakhir perlumbaan itu masih segar di ingatan, bukan sebagai luka yang meratap, tetapi sebagai ikhtibar yang mendewasakan.

Mengimbas kembali kehangatan pada 28 Jun lalu, Khairi tampil sempurna dalam sesi Shoot Out. Catatan masa terpantasnya bukan sahaja menghadiahkan ‘pole position’, malah membuktikan jentera IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM, berada pada julat prestasi terbaik.

“Jentera sewaktu di Dataran Seri Jempol memang di tahap tertinggi. Pasukan menyediakan pelarasan yang sangat cemerlang sehingga saya rasa begitu yakin dan bersedia untuk menguasai perlumbaan,” kata Khairi.

Malangnya, ketika podium sudah berada dalam genggaman dan perlumbaan berbaki satu pusingan sahaja lagi, impiannya berkecai. Insiden terjatuh bersama Md Syamil Amsyar M Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING memaksa kedua-dua pelumba pulang dengan tangan kosong.

Bila mengenangkan semula waktu itu, Khairi tidak berselindung tentang gejolak emosi yang melanda dirinya. “Jujur saya katakan, sewaktu mula-mula melangkah keluar dari litar, perasaan marah dan sedih itu sangat bercampur aduk. Ia satu insiden yang tak sepatutnya berlaku kerana pada akhirnya, kedua-dua pihak yang merugi. Lagi terkesan sebab ia berlaku di litar kegemaran saya,” luah Khairi.

Meskipun begitu, masa yang berlalu mematangkan sudut pandangnya. Tiada istilah perselisihan berpanjangan antara dirinya dan mana-mana pelumba. Bagi Khairi, garis pemisah antara persaingan di litar dan persahabatan di luar tetap dihormati sebagai sebuah ‘racing incident’.

Kini, kekecewaan itu sudah sepenuhnya terawat dan bertukar menjadi tenaga baru. “Semua itu adalah adat perlumbaan dan ia hanyalah permulaan buat saya. Kegagalan kutip mata di Dataran Seri Jempol sedikit pun tidak meragut mentaliti saya. Malah, rasa ralat itu sudah bertukar menjadi ‘bahan api’ yang membuatkan saya lebih dahagakan kemenangan dan tidak sabar untuk membuktikan keupayaan sebenar pada pusingan akan datang,” kata Khairi.