Aksi berbalas serangan dan pertukaran kedudukan di saat akhir menyaksikan Farres Putra Mohd Fadhil dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING merangkul kemenangan sulung penuh bergaya dalam kategori CP150 pada Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan.
Perlumbaan 20 pusingan itu bermula dengan pelbagai kejutan sejak awal apabila beberapa pelumba utama terlibat dalam insiden serta perubahan posisi yang pantas, menjadikan perebutan podium terbuka luas sehingga ke garisan penamat. Farres yang memulakan perlumbaan dengan rentak agresif segera berada di kelompok hadapan, namun saingan sengit daripada rakan sepasukan serta pencabar utama menjadikan setiap pusingan penuh tekanan.
Selepas memulakan saingan dengan baik, Farres, Md Irfan Haykhal Amidi dan Md Helmi Azman dari TAB SPORTS SCK HONDA RACING serta Ahmad Afif Amran PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING berada dalam kelompok terdepan, namun insiden pada Lap 2 yang melibatkan Abdullah Qayyum A Razak dari MOTUL YAMAHA YY PANG RACING TEAM mengubah corak perlumbaan awal. Selepas itu, aksi semakin terbuka dengan pertukaran kedudukan hampir setiap pusingan, termasuk beberapa kali perubahan pendahulu antara Farres, Helmi, Nazirul Izzat Md Bahauddin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR dan Afif.
Kemasukan pelumba seperti Azroy Hakeem Anuar dari HONDA CASTROL POWER 1 YUZY RACING serta kebangkitan Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR yang bermula dari belakang akibat masalah teknikal menambah intensiti perlumbaan.
Detik paling kritikal hadir pada pertengahan perlumbaan apabila Helmi Azman sempat mendahului, namun kedudukan terus berubah apabila Nazirul mula menunjukkan rentak konsisten untuk menekan kelompok hadapan. Menjelang pusingan-pusingan akhir, aksi empat penjuru antara Farres, Afif, Nazirul dan Azroy menjadi tumpuan utama dengan perbezaan masa yang rapat.
Di pusingan terakhir, Farres kekal tenang untuk mengekalkan posisi hadapan sebelum melintasi garisan penamat dengan catatan 15’53.455s, sekali gus mengesahkan kemenangan sulung CP150. Rakan sepasukan, Afif menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan 15’54.469s, manakala Nazirul berjaya mempertahankan podium di tempat ketiga dengan 15’56.170s walaupun diasak hebat oleh Azroy dan Kasma sehingga detik akhir.
Azroy dan Kasma melengkapkan lima terbaik dengan catatan masa rapat, masing-masing di tempat keempat dan kelima.
Farres berkata, “Kemenangan hari ini sebenarnya tidak akan tercapai tanpa usaha seluruh pasukan. Segala ini adalah hasil kerja keras semua mekanik dan kru yang menyediakan jentera dalam keadaan terbaik. Kami bergelut dalam dua pusingan pertama musim ini akibat masalah enjin, namun pasukan tidak pernah berputus asa dan terus berusaha mencari penyelesaian. Alhamdulillah, mereka berjaya menyediakan jentera yang sangat baik untuk perlumbaan hari ini. Tanpa jentera yang kompetitif, mustahil saya mampu berada di kedudukan ini. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada ‘abang Afif’. Jika dilihat dalam perlumbaan tadi, saya cuba membuka jarak di hadapan kerana saya tahu beliau berada di belakang dan sentiasa bersedia untuk membantu serta menyokong saya dari segi strategi perlumbaan. Tanpa sokongan beliau dan juga seluruh pasukan, mustahil untuk saya meraih kemenangan ini. Kemenangan ini menjadi satu pengajaran besar buat diri saya untuk terus bermuhasabah dan memperbaiki diri, terutama dalam aspek latihan. Saya mahu bekerja lebih keras supaya dapat membantu pasukan meraih lebih banyak podium pada pusingan-pusingan seterusnya. Ini baru permulaan, dan saya akan terus berusaha untuk menjadi lebih baik.”
TOP 5 FASTEST – RACE
1. FARRES PUTRA MOHD FADHIL – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (15’53.455s)
2. AHMAD AFIF AMRAN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (15’54.469s)
3. NAZIRUL IZZAT MD BAHAUDDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (15’56.170s)
4. KASMA DANIEL KASMAYUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (15’56.386s)
5. AZROY HAKEEM ANUAR – HONDA CASTROL POWER 1 YUZY RACING (15’56.495s)

