AKIF SUDAH BERSEDIA UNTUK MARA KE KATEGORI LEBIH KOMPETITIF

Pusingan 8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Dataran Seri Jempol pada hujung minggu ini. Md Akif Abdullah dari pasukan Zynergys Honda KC Racing akan meneruskan semangat kejuaraan untuk mendominasi kategori Wira KBS.

Pada musim lepas, walaupun Akif berjaya mencatatkan masa kedua terpantas di sesi kelayakkan, beliau gagal menaiki podium di litar Jempol dan telah menamatkan perlumbaan hanya di tempat keempat. Tetapi, dengan prestasinya yang semakin meningkat di setiap pusingan – di litar teknikal mahupun litar kelajuan tinggi dan dengan pengalamannya yang semakin meluas di kategori tersebut, peluang bagi Akif untuk memenangi perlumbaan yang bakal berlangsung di litar tersebut jelas lebih tinggi daripada musim sebelumnya.

Namun begitu, saingan daripada pesaing-pesaing terdekat yang menaiki jentera jenis Yamaha, Farres Putra dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing dan Akid Shah dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing akan tetap ada lebih-lebih dengan pencapaian mereka yang lebih baik di litar tersebut pada musim lepas. Apa yang memberikan Akif kelebihan selain daripada kemahiran yang terasah dan pengendalian jentera yang lebih mantap adalah kegigihan dan keyakinan yang dipegang. Akif jelas mempunyai matlamat tetap untuk musim ini iaitu untuk menjulang takhta kejuaraan dan dengan pencapaian beliau setakat ini, jelas ternyata usaha beliau membuahkan hasil.

Menurut Akif, “Pelan saya seterusnya adalah untuk sentiasa bersedia untuk menerima asakan daripada pelumba-pelumba yang lain dan saya akan berikan tentangan yang sengit di mana boleh. Litar Jempol adalah suatu litar yang sukar namun saya tetap mengemari litar tersebut. Sudah pastinya saya ingin mencari kemenangan di situ. Bagi menjayakan matlamat tersebut bukanlah perkara yang mudah kerana saya perlu lebih fokus dan mengekalkan tahap konsisten saya sepanjang perlumbaan.”

“Dari awal tahun lagi, matlamat saya untuk musim ini adalah untuk mencapai juara keseluruhan. Saya sedar tiada jalan pintas melainkan memberikan yang terbaik di setiap pusingan. Selain itu, saya juga perlu mengatur strategi yang paling berkesan memandangkan prestasi pelumba-pelumba lain yang agak baik pada musim ini. Untuk tahun ini, pasukan saya telah mencuba pelarasan baru dan Syukur, sehingga pusingan ke-7, saya dapat rasakan perubahan yang positif pada jentera saya. Memang saya berterima kasih kepada pasukan KC yang telah bertungkus lumus menyediakan jentera yang tidak memberikan masalah yang besar.”

Akif meneruskan, “Pasukan saya banyak mengadakan percubaan sebelum minggu perlumbaan dan sudah pastinya inisiatif yang dijalankan dapat memberikan saya kelebihan di atas jentera. Ini juga memberikan saya peluang yang lebih baik untuk mencari pelarasan yang paling bersesuaian. Tidak lupa juga buat pihak Honda Malaysia yang telah membuka jalan dan peluang untuk saya berlumba di kejuaraan MSBK dalam kategori MSBK250 A. Ini secara tidak langsung juga memberikan peluang untuk memperbaiki kekurangan dari segi tunggangan dan pengendalian jentera. Saya sudah bersedia untuk menaiki kategori yang lebih tinggi dan saya akan bersaing dengan lebih kompetitif.”