Pusingan 8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 akan kembali ke Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan, dan bagi Md Idlan Haqimi Raduan, ia bukan sekadar perlumbaan biasa. Pelumba dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM ini bakal berlumba di tanah kelahirannya sendiri, di hadapan keluarga, rakan dan ribuan penyokong tempatan.
Bagi Idlan, peluang berlumba di laman sendiri membawa perasaan istimewa. “Perasaan saya semestinya gembira kerana dapat berlumba di tempat saya sendiri. Sudah pasti saya akan berikan keputusan terbaik di hadapan peminat saya. Tekanan itu memang ada, tetapi semangat saya semakin bertambah apabila berlumba di halaman sendiri,” tambahnya lagi.
Musim ini, Idlan sudah membuktikan kebolehannya dengan meraih dua kemenangan dalam tujuh pusingan. Kini, Idlan bermatlamat untuk memburu kemenangan ketiga di tempat kelahirannya. “Target kemenangan ketiga saya adalah di tempat saya sendiri dan saya akan cuba sehabis baik pada hari perlumbaan,” tegas Idlan.
Namun cabaran tidak mudah. Ramalan cuaca menjangkakan hujan pada hujung minggu perlumbaan, sesuatu yang jelas tidak disenangi Idlan. “Kita lihat bagaimana cuaca pada hari perlumbaan. Kalau boleh saya ingin berlumba dalam keadaan cuaca panas kerana jika hujan, risiko terjatuh lebih tinggi,” jelasnya. Cabaran ini menambah elemen drama kepada perlumbaan, menjadikan Pusingan 8 sukar diramal dan penuh debaran.
Litar di Dataran Seri Jempol juga bukan calang-calang. “Litar ini kebanyakannya ‘rolling speed’ dan ada beberapa kawasan ‘stop and go’. Jadi saya perlukan ‘suspension’ yang bagus untuk berlumba dengan optimum,” kongsi Idlan. Sokongan peminat tempatan jelas memberi suntikan motivasi yang besar kepada Idlan. “Saya memang rasa teruja dengan sokongan mereka, tetapi saya perlu kekal fokus sepenuhnya pada perlumbaan,” katanya.
Bagi Idlan, perlumbaan di Dataran Seri Jempol bukan sekadar perlumbaan biasa. “Kalau boleh, saya nak menang perlumbaan di Dataran Seri Jempol ini kerana ini adalah halaman saya. Tapi jika saya tidak menang, saya akan pastikan mengutip mata penting untuk keseluruhan kejuaraan,” ujarnya yang kini menghuni di tangga ketiga keseluruhan.
Lawan tetap menjadi perhatian, kerana setiap pelumba dalam kategori CP125 mampu memberi cabaran sengit. “Semua pelumba adalah lawan yang harus saya berwaspada pada setiap perlumbaan kerana mereka juga laju,” tambahnya.
Sekiranya berjaya mengungguli perlumbaan di halaman sendiri, makna kejayaan itu sangat peribadi bagi Idlan. “Jika saya menang di halaman sendiri, sudah tentu saya hadiahkan kemenangan ini kepada semua yang telah menyokong saya,” katanya penuh emosi.

