Di Pusingan 2 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 yang berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor hari ini menyaksikan Arash Tsunami Kamarudin dari YAMAHA TEKHNE AHM MOTOR SPORTS mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan.
Pada sesi kelayakan CP125 A, Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM mencatatkan masa terpantas 45:472s. Di belakangnya adalah Md Adie Putra Sukarno dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR yang mudah kembali ke prestasi asalnya selepas direhatkan pada Pusingan 9 dan 10 akibat mengalami kecederaan pada 45:576s. Di tempat ketiga adalah naib juara keseluruhan CP125 musim 2024, Md Izam Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING pada 45:723s.
Manakala pada sesi kelayakan CP125 B, Arash Tsunami Kamarudin dari ATAS AHM MOTOR SPORTS tampil cemerlang, berjaya mencatatkan masa terpantas 45:369s. Pelumba JETRON YAMAHA YY PANG RACING TEAM, Md Khairi Asyraf Mahmood raih tempat kedua dengan catatan masa terpantas 45:493s, diikuti Md Adib Arsyad Md Hisam dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR pada 45:557s.
Berdasarkan keputusan keseluruhan, Arash muncul sebagai pelumba terpantas, manakala Idlan dan Khairi mengikuti di tempat kedua dan ketiga masing-masing.
Arash berkata, “Sesi kelayakan hari ini, keputusan yang cukup memuaskan bagi saya. Terima kasih kepada pasukan yang tidak pernah berhenti berusaha mencari pelarasan terbaik untuk jentera saya. Semasa sesi tadi, saya hanya cuba mencatat masa sebaik mungkin, dan syukur Alhamdulillah, saya berjaya.”

