AFIF TERUS CEMERLANG DI SESI KELAYAKAN

Pusingan 2 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 yang berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor hari ini menyaksikan Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING mencatatkan masa terpantas di sesi kelayakan kategori CP150.

Pada sesi kelayakan 1 CP150 A, Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING mengetuai dengan catatan masa terpantas 43:335s, meletakkan rakan sepasukannya, Md Akid Aziz, yang juga merupakan pemenang kedua-dua pusingan 2 dan 7 di Litar Lumba Tangkak pada musim lalu, di tempat kedua pada 43:534s, diikuti oleh Kasma Daniel Kasmyudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR pada 43:786s.

Pada sesi kelayakan 2 CP150 A, Kasma Danial Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR Berjaya perbaiki catatan masanya 43:370s sekaligus menempatkan dirinya di tempat pertama. Kedua terpantas adalah Afif dengan masa terpantas 43:492s serta rakannya, Akid di tempat ketiga pada 43:780s.

Manakala sesi kelayakan 1 CP150 B, Azroy Hakeem Anuar dari HONDA ESTREMO YUZY RACING mencatatkan masa terpantas 43:614s, menempatkan Danial Syahmi Ahmad Shahril dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR yang mencatatkan 43:734s di tempat kedua, diikuti rakan sepasukannya, Nazirul Izzat Md Bahauddin di tempat ketiga pada 43:852s.

Pada sesi kelayakan 2 CP150 B, Nazirul berjaya perbaiki catatan masanya 43:534s sekaligus menempatkan dirinya di tempat pertama, kedua terpantas adalah rakannya, Danial dengan masa terpantas 43:546s. Azroy pula berada di tempat ketiga pada 43:861s menyaksikannya gagal mengekalkan rekod terpantasnya 43:041s yang dicatatkan pada musim lalu.

Secara keseluruhannya, Afif muncul sebagai pelumba terpantas, manakala Kasma dan Akid mengikuti di tempat kedua dan ketiga masing-masing.

Afif berkata, “Saya tidak sangka dapat ‘pole’ hari ini kerana saya agak bergelut. Catatan 43:500s pun sudah terasa sukar, disebabkan keadaan trek yang sangat panas membuatkan tayar menjadi lebih licin. Ia menyukarkan kami untuk mengekalkan kelajuan dan mencatat masa lebih pantas. Saya juga rasa Kasma berkemungkinan akan mendominasi perlumbaan esok kerana dia mempunyai banyak data, dan jika dilihat kepada rentaknya, dia memang antara yang paling laju. Jadi, tidak mengejutkan jika dia tampil kuat dalam sesi seterusnya.”