SEMANGAT BARU IMAN BERI AMARAN AWAL

Di kategori Wira KBS pada Pusingan 2 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 yang berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor, Md Iman Fahmi Senin dari WINBOX KM+ AXLA berjaya menguasai litar panas apabila mencatat masa terpantas di sesi kelayakan.

Pada sesi Latihan 2, Adi Putra Anahar dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM tampil terpantas apabila mencatatkan masa terpantas 46:374s, Iman raih tempat kedua dengan catatan terpantas 46:396s, manakala Md AKif Abdullah dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM di tempat ketiga pada 46:498s.

Kemudian Iman menukar strategi dan tampak menunggang dengan lebih agresif pada sesi kelayakan, Iman mencatatkan masa terpantas 45:970s sekaligus menyaksikannya berjaya menidakkan hasrat Adi untuk kekal di kedudukan teratas. Adi terpaksa akur menduduki tempat kedua dengan catatan masa 45:984s. Di tempat ketiga, adalah Md Ikram Dani dari WINBOX KM+ AXLA pada 46:048s.

Manakala juara keseluruhan Wira KBS musim 2024, Farres Putra Md Fadhil dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING terus bergelut dengan pelarasan jentera terbaik, sekadar raih P10 pada 46:698s.

Iman berkongsi, “Minggu ini, jentera saya menunjukkan peningkatan yang agak ketara berbanding musim lalu. Saya datang ke sini dengan semangat baharu. Terima kasih kepada mekanik yang bekerja keras sejak pagi untuk menyediakan jentera yang begitu baik buat saya.”