Pembuka musim Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 telah berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara) hari ini. Md Izam Ikmal Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING meraikan kemenangan perlumbaan CP125.
Di sesi “Shoot-Out” yang telah berlangsung pada pagi tadi, Emil Idzhar Ezuan dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING mencatatkan masa terpantas pada 1’23:887s lalu mengambil tempat pertama di grid. Di tempat kedua adalah Md Adib Arsyad Md Hisam dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR dengan catatan masa terpantasnya pada 1’23:926s diikuti oleh Md Syamil Amsyar Md Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING dengan catatan masa terpantasnya pada 1’23:988s.
Bermulanya perlumbaan, juara CP125 musim 2024, Md Syamil Amsyar Md Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING pantas ke hadapan mengetuai kumpulan. Mengikut rapat di belakangnya, pelumba-pelumba yang terus mencari ruang untuk memintas kedudukannya.
Izam berjaya memintas kedudukan P1 seawal pusingan ke-2. Walaupun dicabar ramai, Izam tetap konsisten di hadapan.
Pelumba-pelumba semakin agresif dan Md Adie Putra Sukarno dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR dan Md Haziq Md Hamdan dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING berjaya memintas ke hadapan pada pusingan terakhir.
Namun, Izam membuktikan kemampuannya kembali ke kedudukan P1, Izam terus memecut laju meninggalkan kumpulan 0.508s di belakang, and memenangi perlumbaan pada 11’20:247s.
Haziq mengambil tempat kedua pada 11’20:755s. Manakala Adie Putra meraih tempat ketiga pada 11’21:115s.
Izam berkata, “Terima kasih kepada pasukan. Perlumbaan tadi sangat mencabar. Kita dapat lihat ramai pelumba cuba memintas kedudukan saya sejak awal, tetapi saya hanya fokus mengekalkan momentum dan kelajuan untuk terus berada di hadapan. Pada dua pusingan terakhir, saya agak keliru sama ada mahu kekal di hadapan atau duduk dalam kelompok terlebih dahulu. Saya perasan pelumba dari YYPang dan 31 Racing cuba memintas kedudukan saya. Alhamdulillah, kelajuan saya baik dan saya berjaya mengekalkan kedudukan di P1 sehingga ke garisan penamat.”


Leave a Reply