Pembuka musim Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 telah berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara) pada hari ini. Raiyan Khardanee Md Sanusi dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING mengesahkan kemenangan dalam perlumbaan Wira KBS.
Di sesi kelayakan yang telah berlangsung semalam, Raiyan mengambil kedudukan pertama di petal grid setelah mencatat masa terpantas 1’35:800s. Di petak grid kedua adalah Ahmad Iqram Danish Ahmad Ghazali dari MBI SELANGOR EXN AXLA dengan catatan masa terpantas 1’35:875s diikuti oleh Md Syahmi Aiman Md Shafie dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING yang mencatat masa terpantas 1’36:107s.
Sesi perlumbaan berlangsung pada petang tadi dan telah menyaksikan persaingan yang hebat daripada juara musim 2024, Farres Putra Md Fadhil dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING yang dengan pantas mengambil kedudukan P1 mengetuai kumpulan. Mengikut rapat di belakangnya adalah rakan sepasukannya, Raiyan.
Sepanjang perlumbaan terdapat banyak percubaan merebut kedudukan di hadapan namun wakil PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING ini tetap mampu kekal dalam kelompok hadapan.
Pusingan terakhir menyaksikan dua pelumba ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM semakin menghampiri untuk memintas namun Farres dan Raiyan menidakkan usaha itu. Perlumbaan menjadi lebih menarik selepas melepasi selekoh terakhir apabila 3 pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING bersaing antara satu sama lain.
Raiyan memecut ke garisan penamat untuk memenangi perlumbaan pada 10’10:190s. Di tempat kedua, hanya 0:034s di belakang Raiyan, adalah Farres yang menamatkan perlumbaan pada 10’10:224s, diikuti rakan sepasukan, Md Arfan Ashraf meraih tempat ketiga pada 10’10:493s.
Raiyan berkata, “Dalam perlumbaan tadi, kami telah merancang pelbagai strategi untuk berada di hadapan. Syukur alhamdulillah, strategi tersebut berjaya dan pasukan kami berjaya menguasai Pusingan 1. Terima kasih kepada semua ahli pasukan atas kerjasama dalam menyediakan jentera terbaik. Tidak dilupakan juga, sokongan daripada semua yang mempercayai saya, terutamanya ibu saya.”


Leave a Reply