AZROY TERLEPAS AKSI DI JEMPOL

Berbaki 3 pusingan di Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix, persaingan antara pelumba semakin sengit dalam perebutan takhta. Setiap pusingan adalah peluang untuk mengumpul mata maksimum demi merebut gelaran juara keseluruhan, menjadikan setiap perlumbaan semakin menarik dan penuh debaran.

Namun, Azroy Hakeem Anuar dari HONDA ESTREMO YUZY RACING bakal terlepas pusingan 8 di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan, setelah ditawarkan tiket wildcard untuk beraksi di FIM Superbike World Championship dalam kategori World Supersport Championship (WSSP).

Azroy berkongsi perasaannya apabila mendapat khabar mengenai peluang berlumba di WSSP: “Saya sangat gembira dan bersyukur dapat beraksi di kategori WSSP dengan tiket wildcard ini. Ia adalah peluang yang jarang datang, dan saya ingin merakamkan penghargaan yang mendalam kepada Boon Siew Honda kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk bersaing di pentas ini. Saya berhasrat untuk memanfaatkan setiap detik di trek dan belajar sebanyak mungkin daripada pengalaman ini.”

Walaupun gembira, Azroy tidak menafikan rasa sedikit kesedihan. “Memang ada sedikit kecewa kerana tidak dapat menyertai perlumbaan Cub Prix di Jempol minggu ini. Setiap perlumbaan adalah peluang untuk meningkatkan kedudukan saya dalam kejuaraan, tetapi saya sedar bahawa peluang untuk berlumba di WSSP amat berharga. Jadi, saya akan gunakan peluang ini sebagai motivasi untuk terus berusaha serta meningkatkan prestasi saya, dan saya menjanjikan persembahan lebih baik pada pusingan Cub Prix yang akan datang.”

Terlepas satu pusingan menyaksikan Azroy, yang kini menduduki tangga ke-3 keseluruhan, berkemungkinan untuk dipintas. Azroy berkata, “Dalam perlumbaan, pelbagai perkara boleh berlaku, dan saya sedar bahawa persaingan adalah sengit. Namun, saya tidak mahu terlalu memikirkan tentang siapa yang berada di hadapan saya. Fokus utama saya adalah untuk mempersiapkan diri dengan sebaik mungkin bagi Pusingan 9 dan 10. Saya akan berusaha keras untuk kekalkan kedudukan dalam 3 terbaik keseluruhan musim ini. Semangat dan disiplin adalah kunci.”

“Sekembalinya ke Pusingan 9 di Bandar Medini Iskandar, saya akan memberikan yang terbaik dalam setiap sesi latihan dan perlumbaan. Matlamat saya adalah untuk meraih podium atau bahkan kemenangan. Saya ingin memastikan setiap detik di trek dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencapai hasil yang positif bagi diri saya dan pasukan.”

“Di WSBK, saya berharap untuk memperoleh sebanyak mungkin pengalaman yang boleh digunakan untuk memperbaiki diri. Saya sedar bahawa berlumba di peringkat antarabangsa adalah cabaran yang berbeza, dan saya ingin membawa semua pengalaman berharga ini kembali dan mempamerkannya di Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix serta IDEMITSU FIM Asia Road Racing Championship. Dengan pengalaman yang saya dapat, saya harap dapat memberi inspirasi kepada pelumba-pelumba muda di tanah air dan terus membangunkan sukan permotoran di Malaysia,” tambah Azroy.