fbpx

NAZIRUL KEMBALI MENGGEGAR CUB PRIX

Setelah 2 pusingan menahan keinginan, pelumba Nazirul Izzat Md Bahauddin PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR akhirnya dapat kembali beraksi pada Pusingan 8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang akan berlangsung di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan.

Nazirul meluahkan keterujaannya, “Alhamdulillah, saya semakin pulih. Saya telah menjalani beberapa sesi pemulihan dan latihan ringan, dan saya merasa lebih kuat setiap hari. Walaupun ada cabaran, saya bertekad dan tidak sabar untuk kembali ke tahap terbaik saya!”

Nazirul turut berkongsi, “Saya merasa kecewa kerana terlepas perlumbaan sebanyak 2 pusingan, tetapi saya tidak mahu terperangkap dalam kekecewaan. Saya cuba untuk fokus pada proses pemulihan dan tidak memberi tekanan kepada diri sendiri.”

“Menjelang perlumbaan di Dataran Seri Jempol, saya mempersiapkan diri dengan tekun. Selain meneruskan rutin kecergasan dan latihan, saya juga memberi tumpuan kepada pemakanan dan mental. Saya percaya kedua-duanya sangat penting untuk meningkatkan stamina dan kekuatan saya.”

Perasaan Nazirul bercampur baur, antara teruja dan gementar untuk beraksi di negeri beliau membesar selepas 2 bulan tidak mengendali jenteranya dalam CP150. “Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri dalam persaingan ini. Namun, saya yakin bahawa dengan sokongan pasukan yang hebat lebih-lebih lagi kehadiran keluarga dan penyokong-penyokong, kami akan melakukan yang terbaik. Saya akan meneliti strategi perlumbaan dan mencari cara untuk mengatasi cabaran yang ada.”

“InshaAllah, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mencapai matlamat itu. Saya tidak mahu terfikir terlalu jauh, tetapi saya yakin jika saya memberikan yang terbaik, peluang itu ada. Fokus saya adalah untuk memanfaatkan setiap saat di litar dan membuat keputusan yang tepat,” tambah Nazirul.