AKID MUDAH UNGGULI CP150

Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) berakhir pada petang tadi. Saingan perlumbaan CP150 menyaksikan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Md Akid Aziz mengesahkan kemenangan bagi Pusingan 5 musim ini.

Di sesi “Super-Pole” pagi tadi, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Md Akid Aziz mencatatkan masa terpantas 1’15:44s sekaligus mengambil kedudukan grid pertama perlumbaan akhir. Di grip kedua adalah pelumba HONDA ESTREMO YUZY RACING, Azroy Hakeem Anuar yang mencatat masa terpantas 1’16:298s diikuti Md Hafiza Rofa dari ONEXOX TKKR RACING TEAM dengan catatan masa 1’16:623s di petak ketiga.

Permulaan perlumbaan akhir tadi, Akid dan Afif dengan pantas mengambil kedudukan hadapan diikuti oleh Azroy Hakeem Anuar dari HONDA ESTREMO YUZY RACING.

Memasuki pusingan ke-3, sementara Akid konsisten di P1, Shahrol Syazras Shahrol Yuzy dari HONDA ESTREMO YUZY RACING yang berada di P2 diekori rapat oleh Nazirul Izzat Md Bahauddin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR.

Pada pusingan ke-5, Azroy berjaya menempatkan diri di P2, manakala di belakangnya ada rakan sepasuksnnya, Syazras. Nazirul id P4 terus mencari ruang untuk memintas pelumba di hadapannya.

Pada pusingan terakhir, kemahiran luar biasa pada Akid menyaksikannya berada dalam hampir 8 saat di hadapan Azroy di P2. Di belakangnya menyaksikan aksi sengit dengan 7 pelumba merebut kedudukan P3.

Akid memenangi perlumbaan dengan catatan masa 13’55:159s.

Akid berkongsi, “Saya rasa ini adalah pelarasan terbaik untuk saya setakat ini dan untuk pusingan ini. Enjin saya juga berada dalam keadaan cukup baik. Cuma saya tidak sangka dalam perlumbaan saya dapat menjarakkan jurang begitu jauh. Jika ikutkan saya tidak pernah lagi merasa meninggalkan kumpulan sejauh itu. Saya juga tidak tahu situasi di belakang saya, apa yang terjadi. Apapun saya bersyukur dapat menang dengan jarak yang menakjubkan ini.”

Azroy mengambil tempat kedua dengan catatan masa 14’03:852s.

Di tempat ketiga adalah Syazras dengan catatan masa 14’04:498s.