Para pelumba Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan kembali untuk pusingan kesembilan di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) pada hujung minggu ini. Dengan hanya dua pusingan lagi, Md Haziq Md Fairues dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor akan berusaha untuk meningkatkan prestasinya.
Seperti pelumba-pelumba lain, Haziq tidak asing di arena CP150. Pada tahun 2019, beliau telah meraih tempat keempat secara keseluruhan. Namun begitu, beliau gagal mempertahankan kedudukannya mahupun penambahbaikan prestasinya pada tahun 2020 apabila beliau yang hanya mampu menempatkan dirinya di kedudukan kedua-belas secara keseluruhan.
Pada musim seterusnya, Haziq telah bertekad untuk menebus kembali mata keseluruhannya dan walaupun beliau tidak berkesempatan untuk menaiki podium, Haziq berjaya meningkatkan prestasinya untuk mendapat tempat ketujuh keseluruhan.
Tahun ini, dengan berbekalkan pengalaman dan pengajaran daripada musim-musim lepas, Haziq telah mengecapi empat kejayaan di podium. Walaupun beliau tidak berpeluang untuk ke P1, persembahan beliau pada musim ini terserlah hebat dengan kutipan 107 mata dan kedudukan di tangga keempat secara keseluruhan.
Menurut Haziq, “Bagi pusingan yang akan datang, saya akan cuba dengan sedaya upaya untuk mengutip sebanyak mata yang mungkin. Pada pendapat saya, musim ini agak kompetitif tetapi saya sentiasa cuba memperbaiki setiap kekurangan pada pusingan sebelum untuk menghasilkan pencapaian yang positif.”
“Jentera saya pada musim ini agak bagus. Pasukan saya sentiasa memberikan saya yang terbaik. Apa yang penting bagi jentera adalah “setup” enjin dan suspension kerana Litar Sepang banyak selekoh yang laju. Dengan dua lagi pusingan lagi sebelum tamatnya musim ini, saya akan buat yang terbaik untuk memastikan kedudukan saya tidak tergugat.”
Pengurus pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor berkata, “Tahun ini sememangnya agak mencabar bagi kami sepasukan kerana pelumba-pelumba lebih kompetitif maka perlumbaan juga bertambah sengit. Namun begitu, saya juga telah memerhati peningkatan prestasi di kalangan pelumba kami dari segi kemahiran. Mereka giat melakukan latihan mereka dengan usaha sendiri. Pasukan kami juga memberikan yang terbaik dari segi enjin jentera untuk setiap perlumbaan.”
“Cabaran ulung kami bagi musim ini adalah had RPM dan jurang perbezaan yang agak besar. Maka kami harus sentiasa mempertingkatkan usaha untuk mempertahankan kedudukan di tangga atas. Bagi pusingan yang akan datang, kami berharap untuk mendapat tempat di podium.”
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook

