Penaja utama PETRONAS Malaysian Cub Prix, PETRONAS telah memberi peluang berharga buat dua jagoan Cub Prix, Azroy Hakeem Anuar dan Kasma Daniel Kasmayudin. Kedua dua pelumba mendapat peluang yang menjadi impian semua pelumba untuk beraksi di pentas Grand Prix Dunia.
Kedua-dua mereka telah terpilih sebagai pelumba ‘wildcard’ pada PETRONAS Grand Prix Malaysia 2022 yang lalu. Kedua-dua mereka amat berterima kasih kepada pihak PETRONAS dengan peluang yang diberikan ini.
Walaupun tempoh masa persiapan yang singkat, kedua-dua pelumba ini menunjukkan peningkatan positif dalam menyesuaikan diri dengan jentera Moto2 serta kru pasukan.
Ia bukan suatu tugas yang mudah untuk menyesuaikan diri dengan jentera Moto2 namun pengalaman kedua-dua pelumba negara itu harus diberi pujian berjaya menyesuaikan diri dalam masa yang singkat.
Aksi dua pelumba negara itu mendapat pujian yang positif daripada pengurus pasukan, Midori Moriwaki kerana mereka cepat menyesuaikan diri dengan keadaan jentera baru termasuk casis, enjin dan elektronik.
“Anda boleh lihat peningkatan dari FP1 sehingga hari perlumbaan bagaimana mereka buat peningkatan. Walaupun mereka tiada banyak masa untuk memahami jentera, mereka cukup bermotivasi untuk menyesuaikan diri dengan keadaan. Kedua-dua pelumba mempunyai sikap yang baik kerana tidak mahu terlepas peluang yang ada. Mereka mampu menjadi pelumba yang hebat jika banyak masa dan latihan yang diberikan”, ulas Midori mengenai kedua-dua pelumba itu.
Mengakui perlumbaan tersebut agak mencabar namun mereka berdua tetap bersyukur dapat menamatkan perlumbaan dengan selamat di hadapan penyokong sendiri.
Kasma yang pernah beraksi musim penuh dalam kelas tersebut pada tahun 2020 cuba untuk mengekalkan rentak konsisten sepanjang perlumbaan.
“Ia merupakan perlumbaan yang mencabar cuma saya cuba untuk menunggang dengan konsisten. Walaupun saya ada melakukan beberapa kesilapan namun saya amat bersyukur dapat menamatkan perlumbaan dengan selamat. Syukur. Alhamdulillah”, ujar Kasma apabila ditemui sejurus tamat perlumbaan.
Berbeza buat Azroy yang kali pertama mengendalikan jentera Moto2, beliau ‘kurang seronok’ dengan prestasi yang ditunjukkan namun tetap bersyukur dapat menamatkan perlumbaan dengan selamat.
“Perlumbaan yang agak mencabar. Saya berjaya melakukan permulaan yang baik ketika perlumbaan dimulakan tapi selepas separuh lap pelumba ada pelumba yang cuba memintas saya dalam keadaan yang bahaya sehingga menyebabkan kami overshot. Saya kemudian cuba untuk mengekalkan catatan masa saya dan syukur alhamdulillah saya berjaya menamatkan perlumbaan tapi kurang seronok dengan keputusan ini. Lepas ini saya akan bekerja keras lagi”, jelas Azroy.





















