Pusingan 9 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di Bandar Medini Iskandar, Johor mencipta satu momen lucu dan unik apabila lima pelumba kelas Wira KBS, bersama motosikal masing-masing, ‘berhimpit-himpit’ dalam sebuah van selepas beberapa insiden di litar. Kejadian ini berlaku selepas jentera mereka gagal dihidupkan dan marshal mengambil langkah keselamatan dengan membawa mereka kembali ke paddock.
Satu gambar yang tersebar menunjukkan situasi luar biasa ini – lima pelumba dengan motosikal masing-masing tersusun dalam van yang kelihatan ‘padat muatan’. Ternyata, meskipun kecewa dengan kemalangan, suasana dalam van menjadi hiburan untuk mereka.
Antara pelumba yang terlibat:
Md Syahmi Aiman Md Shafie dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING:
“Semasa ujian masa hari Sabtu, saya terjatuh di selekoh 2. Selepas bangun, saya nak teruskan sesi, tapi jentera tak dapat dihidupkan. Saya dan pelumba lain terpaksa naik van marshal. Dalam van tu, cukup sempit, nasib baik kami semua berfizikal kecil. Dan walaupun sempit, kami sempat berbual tentang kejadian tadi. Memang pengalaman seperti ini jarang berlaku, tapi ini kenangan yang saya tidak akan lupakan sampai bila-bila.”
Md Shazrilee Pattelee dari AS25 HONDA RACING TEAM:
“Ketika itu saya terjatuh di selekoh 2. Terasa berat nak bangun, rupanya kena himpit motor. Dalam van tu rasa macam ikan sardin, haha! Walaupun kecewa sebab jatuh, situasi dalam van tu buat saya ketawa juga. Seronok, walaupun pelik!”
Haidar Nur Akmal Md Zaki (BROTHERS 7 TECH RACING):
“Saya terjatuh di selekoh 3, dan marshal tak benarkan saya meneruskan sebab motor sudah rosak. Dalam van tu, memang sempit dan panas! Tak sangka boleh masuk sampai lima motor sekali dalam satu van. Ini kenangan yang tak akan dilupakan.”
Dalam suasana yang panas dan sempit, pelumba-pelumba ini sempat bergelak ketawa walaupun masing-masing kecewa dengan insiden di litar. Gambar mereka dalam van mencetuskan pelbagai reaksi, dengan ramai yang kagum bagaimana lima pelumba bersama motosikal berjaya muat dalam satu van kecil. Ini memang level dewa marshal Malaysia!
Momen ini mungkin jarang berlaku, tetapi ia memberikan satu pengajaran dan juga memori unik buat semua pelumba terlibat. Mereka bukan sahaja menunjukkan semangat juang di litar, tetapi juga kemampuan untuk kekal positif walaupun dalam situasi yang mencabar – atau dalam kes ini, sempit!