fbpx

3 DEKAD DI ARENA SUKAN, USAHA BERTERUSAN PENGANJUR CUB PRIX HARUS DIPUJI – HANNAH YEOH


Dalam arena sukan, tanpa mengira sukan mana, semua mempunyai ‘grind’ masing-masing. Ada yang manis umpama madu. Ada pahit bagaikan hempedu. Suka dan duka memang sudah lama menjadi adat setiap satu sukan. Manis itu disanjung bersama, pahit itu bukan selalunya dapat bangkit kembali untuk meneruskan kewibawaan sukan tersebut.

Begitu juga dalam arena sukan permotoran. Satu-satunya sukan jentera dua roda berprestij di peringkat kebangsaan, Malaysian PETRONAS Cub Prix turut mempunyai liku-likunya sebelum mencapai satu kejayaan yang harus diberi pengiktirafan iaitu kekal unggul sebagai platform melahirkan bakat muda sukan permotoran selama 3 DEKAD!

Walau apa jua keadaan, Tidak pernah mengalah atau mengundur!

30 tahun dalam arena sukan permotoran , Cub Prix kekal menjadi medan relevan untuk mencungkil bakat permotoran dan mampu berdiri sendiri biarpun jarang mendapat bantuan kerajaan.

Penganjurnya Safe Aim Mutual (SAM) Sdn Berhad dan Two Wheels Motor Racing (TWMR) Sdn Berhad yang meluaskan kuasanya tanpa batasan dipuji Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“30 tahun mencipta ekosistem yang dipacu industri dan berjaya menjadikan siri sukan permotoran tempatan terbesar tanpa pembiayaan kerajaan. Dalam tempoh 30 tahun ini mereka hanya menerima pembiayaan kerajaan sekali sahaja pada 2017.

Tetapi mereka telah mengembangkan siri ini dari awal menjadi siri yang begitu besar. Ini menunjukkan ia boleh dilakukan. Jadi saya menggesa sukan lain untuk melihat ini sebagai sebagai contoh, bangunkan diri anda dan berkembang tanpa memerlukan pembiayaan kerajaan,” kata Hannah.

Bak kata pepatah Inggeris ‘ Success doesn’t happen overnight’, kemenangan Malaysian Cub Prix bukan sesuatu yang berkembang pesat dalam hanya sekelip mata, ia adalah hasil titik peluh beribu orang yang menjayakan Visi utama kejuaraan iaitu ‘Melahirkan lebih ramai bakat muda yang mampu menyerlah di persada Dunia suatu hari nanti’ dan ia sudahpun dibuktikan melalui beberapa pelumba yang berjaya memahat nama di peringkat Asia mahupun Antarabangsa.

Setiap edisi Kejuaraan Malaysian Cub Prix akan menyaksikan pembaharuan atau keistimewaan. Apa pula kelainan kali ini? Kategori baru? Penambahan Spek baru atau apa yang menanti pelumba muda negara yang bakal berentap dengan misi masing-masing pada musim ini?

Kelainan kali ini, boleh disifatkan sebagai suntikan kepada pelumba ataupun boleh juga dikatakan bsebagai apresiasi bagi mereka.

Sempena edisi ke-30, kelainan yang mengujakan menanti pelumba bersaing adalah wang kemenangan lebih lumayan mencecah hampir RM500,000, tidak termasuk bonus kemenangan pasukan masing-masing.

Penganjurnya Ron Hogg mengumumkan kejutan ini pada majlis “Sambutan Tahun Ke-30” yang berlangsung di M Resort and Hotel, Kuala Lumpur.

““Cub Prix bermula dengan aspirasi untuk memberikan peluang kepada bakat-bakat tempatan agar mereka dapat melebarkan sayap di arena sukan permotoran nasional. Kini, kami amat berbangga dengan pencapaian Cub Prix yang berjaya membuka laluan kepada para pelumba mahupun pasukan untuk mengorak langkah ke tahap seterusnya di arena sukan permotoran Asia dan  antarabangsa. Kejayaan dan pencapaian Cub Prix tidak mungkin berkesampaian tanpa kerjasama dan sokongan daripada keluarga Cub Prix. Terima kasih!”

Kejuaraan ini telah menyatukan rakyat Malaysia yang berkongsi minat yang sama untuk kepantasan, adrenalina, dan keseronokan perlumbaan tanpa mengira kaum, bangsa, perbezaan ideologi dan politik.

Tidak boleh dinafikan, jika Kejuaraan ini disifatkan sebagai nadi bagi Sukan Permotoran Jentera Dua Roda Negara.

Kejuaraan Cub Prix bermula pada tahun 1994 dengan lima pusingan yang telah berlangsung di daerah-daerah berlainan sekitar Semenanjung Malaysia. Perlumbaan 10-pusingan bermula pada tahun 2006 dan sehingga kini, Cub Prix berjaya melengkapkan 240 pusingan secara keseluruhan. Sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai juga memberikan peluang kepada Cub Prix untuk menjelajah ke seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak.

Perlumbaan Cub Prix musim ini akan bermula dengan pusingan pertama di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Utara pada 25-26 Feb, diikuti perlumbaan di Jempol (11-12 Mac), pusingan ketiga pada 27-28 Mei yang belum ditentukan lokasinya dan SIC Selatan (10-11 Jun).

Perlumbaan kemudian akan bersambung di Litar Lumba Tangkak pada 8-9 Julai, Litar Perlumbaan Terengganu (21-22 Julai), Teluk Intan (2-3 Sept), Litar Perlumbaan Terengganu (22-23 Sept) dan Litar Lumba Tangkak (21-22 Okt), sebelum tamat di Batu Kawan pada 25-26 Nov.Cheers to another Dekad! Ayuhhh terus sokong saingan tempatan!