fbpx

10 Fakta Jentera Cub Prix


Bercakap tentang alat ganti untuk perlumbaan, banyak yang boleh kita perkatakan kerana ia melibatkan pelbagai aspek dari enjin sehinggalah kepada alatan-alatan lain yang sama pentingnya terutama bagi mendapatkan kestabilan kepada pelumba ketika di litar.

Dengan perubahan teknologi pada hari ini, peralatan dan aksesori yang digunakan juga turut berubah dan semakin maju, bukan sahaja untuk kegunaan di litar, malah di jalan raya.

Bagi mereka yang sentiasa hadir memberikan sokongan di setiap venue Cub Prix, adakalanya tertanya-tanya mengenai peralatan-peralatan dan juga perkataan-perkataan yang seringkali disebut oleh pelumba, pasukan dan juga petugas-ptugan pasukan.

Di sini kami ingin menerangkan secara umum tentang beberapa peralatan yang digunapakai ketika perlumbaan.

 

1. Quick Shifter

SHZ_0377

Penukaran gear memainkan peranan penting sewaktu perlumbaan. Sedikit kesilapan atau kelewatan ketika menukar gear boleh membawa padah kepada pelumba. Pada hari ini antara teknologi yang membantu pelumba untuk menaikkan gear ialah ‘Quick Shifter’.

Bagi yang sudah biasa dengan perlumbaan Cub Prix, perkataan ‘Quick Shifter’ ini seringkali didengar namun ada yang kurang jelas apakah itu ‘Quick Shifter’ dan apakah kelebihan teknologi ini.

Secara ringkasnya quick shifter ialah peranti atau alat yang membantu pelumba untuk menaikkan gear dengan lancar sekaligus dapat memendekkan masa untuk menukar gear.

Cara kebiasaan untuk menukar gear memerlukan pelumba untuk menarik tuil klac dan menaikkan tuas gear sebelum melepaskan semula tuil klac dengan sempurna untuk mendapatkan kesan penukaran gear yang lancar.

Di sini, teknologi quick shifter dihasilkan untuk memendekkan proses penukaran gear yang panjang menjadi lebih pantas dan mudah supaya pelumba dapat memberikan tumpuan kepada litar sahaja. Quick shifter sebenarnya bukanlah membuatkan motosikal lebih pantas, tetapi untuk memudahkan dan meningkatkan keselesaan pelumba.

Prinsipnya sangat mudah. Jentera yang dilengkapi quick shifter, pelumba hanya perlu menganjakkan gear tanpa perlu menarik tuil klac dan mengalami sebarang kerosakan.

Harganya? Sudah pastilah tidak begitu murah jika ingin digunakan di jalan raya bagi jenama berkualiti tinggi.

 

2. Panel Indicator (Paparan digital)

SHZ_0407

Tahukah anda bahawa jentera perlumbaan Cub Prix kebanyakannya menggunakan paparan meter digital yang memaparkan catatan masa yang dilakukan oleh pelumba dalam setiap pusingan.

Teknologi ini membantu pelumba untuk mengetahui catatan yang dilakukan pada setiap pusingan berbanding penggunaan ‘lapboard’ yang hanya akan menunjukkan masa yang dilakukan pelumba untuk pusingan yang terdahulu.

Bagi pelumba berpengalaman, ini akan memudahkan mereka untuk mencuba atau mengubah laluan dan gaya ketika di litar dan dapat mengetahui teknik itu berkesan ataupun tidak dengan segera.

 

3. Bateri

SHZ_0433

Bateri menjadi nadi penting kepada jentera perlumbaan. Bateri yang digunakan sewaktu perlumbaan kebiasaannya hanya bertahan sekitar 30 minit untuk sekali penggunaan. Penggunaan Alat Kawalan Enjin (ECU) dalam jentera CP150 menyaksikan penggunaan lebih tenaga bateri. Bagi menangani masalah ini, kebanyakan jentera CP150 menggunakan bateri dari jenis lithium yang lebih berkuasa dan ringan, berbanding bateri motosikal biasa yang mempunyai berat purata sekitar 2 kilogram Namun, harga bateri jenis lithium bukanlah murah. Ianya berkali-kali ganda harganya berbanding bateri biasa.

 

4. Pelana

SHZ_0409

Kebanyakan pelumba memilih untuk memotong dan membentuk pelana mengikut keselesaan gaya tunggangan mereka. Jika anda lihat, pelbagai bentuk pelana yang dipotong, ianya bukan sengaja dipotong untuk mengurangkan berat jentera, sebaliknya membantu posisi duduk pelumba agar lebih selesa dan serasi untuk mengendalikan jentera di litar.

 

5. Suspension (Penyerap kejutan)

SHZ_0381

Kebanyakan jentera-jentera perlumbaan Cub Prix menggunakan sistem suspensi (Penyerap kejutan) yang boleh dilaras sepenuhnya. Pelumba bebas memilih penyerap kejutan yang memberikan keselesaan dan kawalan jentera yang baik bagi mereka untuk mengendalikan jentera di litar. Antara jenama yang biasanya digunakan adalah dari jenis Racing Boy dan Ohlins.

 

6. Slipper Clutch (Klac gelincir)

SHZ_0389

Klac gelincir adalah jenis cekam atau klac khas yang dibangunkan untuk motosikal berorientasikan prestasi untuk mengurangkan kesan brek enjin apabila penunggang menutup pendikit. Ia juga dikenali sebagai penghad tork atau torque limiter.

Tujuan utama klac gelincir ini ialah bagi mengelakkan sentapan roda belakang (atau clatter) terutamanya bila motosikal menurunkan gear dengan mendadak, dan enjin menampan putaran roda belakang. Apabila tampanan tork seperti ini terjadi, hab khas klac gelincir ini bertindak melepaskan hubungan plat sedikit dan membenarkan gelinciran terhad antara plat input dan output bagi mengelakkan sentapan pada roda, yang terjadi apabila roda belakang berputar lebih laju dari pacuan enjin.

Dalam keadaan sebegini, cekam atau klac konvensional biasanya akan menampan enjin dan menyebabkan roda belakang menyentap dan kehilangan cengkaman, terutamanya pada enjin empat lejang yang berkuasa tinggi. Cekam atau klac slipper menangani beban tambahan ini dan memberikan tunggangan yang lebih mudah dijangka dan meminimumkan risiko lebihan rpm enjin semasa menurunkan gear. Klac gelincir juga boleh mengelakkan roda belakang terkunci sekiranya berlaku enjin terhenti, mati atau jem.

Klac gelincir telah digunakan pada kebanyakan motosikal perlumbaan sejak sejak awal 1990-an,dan kini dilengkapi pada banyak motosikal sports semasa.

 

7. Lever protector (Pelindung tuil brek)

SHZ_0367

Jika diperhatikan kepada jentera perlumbaan bukan sahaja di MotoGP, malah di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, kita dapat perhatikan terdapat satu peralatan yang dipasang di bahagian brek tangan. Pelindung tuil brek ini telah diwajibkan pengunaannya dalam ketiga tiga klas MotoGP semenjak musim 2012.

Sebenarnya apakah fungsi pelindung tuil brek tersebut?

Fungsinya adalah untuk mengelakkan tuil brek kanan/belakang daripada tertekan secara tidak sengaja akibat daripada sentuhan sewaktu persaingan sengit ketika pelumba memulakan perlumbaan ataupun ketika terjatuh.

 

8. Ekzos

SHZ_0427

Jentera perlumbaan akan menggunakan ekzos berprestasi tinggi yang sepadan dengan modifikasi enjin dan talaan agar dapat menghasilkan kuasa pada kadar optimum.

Kebiasaannya ekzos memainkan peranan yang penting dalam penghasilan kuasa sesebuah jentera.

 

9. Damper

SHZ_0362

Damper merupakan peralatan sokongan yang memastikan kestabilan sesebuah jentera ketika masuk dan keluar selekoh terutama ketika pada kelajuan tinggi.

 

10. Berat

SHZ_0447

Pengurangan berat akan dilakukan pada jentera perlumbaan agar dapat mencapai berat ideal yang akan mempengaruhi daya pecutan dan pengawalan sesebuah jentera. Ini dilakukan dengan membuang atau mengurangkan bahagian yang tidak diperlukan serta penggunaan material yang lebih ringan.