BHPetrol Dash Tabuan Racing Team merupakan salah satu pasukan yang menjadikan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS sebagai gelanggang pertarungan utama bagi pasukan mereka. Setiap perlumbaan dianggap sebagai satu peluang, bukan sekadar untuk memperoleh kemenangan dan mencapai mata pasukan, tetapi juga peluang untuk membuat kajian mendalam dalam pelbagai aspek untuk pembangunan teknik & teknikal perlumbaan di masa akan datang. Dengan tajaan BHPetrol, pasukan ini kini lebih mantap dari segi persediaan jentera, teknologi perlumbaan dan motivasi pasukan.
Tabuan Racing Team mula bergiat secara rasmi bermula pada tahun 2014. Sepanjang penglibatan tersebut, mereka telah memperoleh pencapaian dari pelbagai kejuaraan dan pertandingan. Senarai barisan pelumba mereka sering ‘menyengat’ dalam setiap perlumbaan untuk pelbagai kategori yang disertai.
Mulai tahun 2016, Tabuan Racing Team mendapat tajaan dari syarikat pengeluar minyak BHPetrol (Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd.), dan pasukan ini mula dikenali dengan nama BHPetrol Dash Tabuan Racing Team.
“Kami bersedia untuk cabaran dalam siri perlumbaan Kejuaraan Cub Prix Kebangsaan pada tahun ini,” kata Pengurus Besar BHPetrol Jualan Komersial Industri dan Minyak Pelincir, Ir. Azizul Azily Ahmad pada sidang media dalam majlis memperkenalkan pasukan tersebut pada 23 Februari tahun ini. “Kolaborasi ini bertepatan dengan objektif kami, bagi menaikkan imej BHPetrol kepada pengguna sama ada bagi pemilik motosikal kecil mahupun jentera berkuasa tinggi.”
Selain itu, kami juga ingin mengalakkan perlumbaan secara sah selain memeriahkan lagi sukan bermotor di Malaysia dengan terbabit dalam arena sukan bermotor Cub Prix.
Walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran pencapaian secara khusus, pasukan ini optimis untuk menjadi di antara pasukan yang dikenali dalam pelbagai kategori perlumbaan, selain berhasrat untuk menjadi salah satu pasukan yang mampu bersaing di pentas podium.
Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, BHPetrol Dash Tabuan Racing Team berwawasan untuk meraih pelbagai kejayaan dan melahirkan nama baru dalam dunia perlumbaan serta menjadi penggerak utama dalam industri permotoran di Malaysia.