fbpx

SYUKRAN AKAN PERTINGKATKAN KEKUATAN FIZIKAL


Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix, pusingan keempat akan berlangsung di Litar Sepang Antarabangsa Selatan pada hujung minggu ini. Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff dari pasukan Rexxo Racing Team berazam untuk meneruskan pencapaiannya di kategori CP125.

Kemenangan Syukran di pusingan ketiga yang berlangsung di Jasin tidak menghairankan memandangkan pencapaiannya di tangga kedua di litar tersebut pada tahun 2019 bagi kategori CP115. Pada tahun yang sama, beliau juga telah meraih gelaran juara keseluruhan dengan jumlah sebanyak 179 mata.

Pada tahun-tahun berikutnya, pencapaian Syukran hanya sekadar memuaskan. Beliau yang berpasukan lain pada ketika itu tidak mampu mempertahankan kedudukannya secara konsisten. Pada tahun 2021, beliau menamatkan musim tersebut di tempat kelima secara keseluruhan. Pada musim lepas pula, Syukran jatuh ke tangga kelima belas secara keseluruhan. Kemenangan pertama beliau bagi musim ini menandakan nada yang positif bagi Syukran dan diharapkan akan memberikannya motivasi untuk meneruskan semangat perjuangan.

Menurut Syukran, “Di Litar Jasin hari itu, ia merupakan litar baharu dan ramai pelumba yang tidak pernah berlumba di situ. Itu memberikan saya satu kelebihan untuk menyesuaikan diri dengan lebih cepat lebih-lebih lagi dengan keadaan jentera saya yang agak bagus hari itu. Prestasi saya pada tahun lepas memang tidak begitu stabil. Tetapi untuk tahun ini, saya amat berterima kasih kepada pasukan Rexxo Racing Team kerana memberikan saya peluang untuk meneruskan perjuangan saya dan untuk membuktikan kebolehan saya.”

“Bagi musim ini, pasukan saya telah bertungkus-lumus untuk mencari setup yang baik untuk jentera saya. Pada pusingan lepas, saya berjaya mencapai pencapaian yang sangat baik kerana penyediaan jentera pada tahap optimum. Apa-apa kekurangan pada jentera akan diperbaiki satu per satu buat masa kini. Persiapan saya untuk pusingan yang akan datang adalah lebih berfokus kepada pembinaan kecergasan fizikal serta latihan dengan jentera.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,