fbpx

SYAMIL TUMPUAN DI LITAR


Md Syamil Amsyar Iffende dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing telah menampilkan aksi yang hebat selama tujuh pusingan dan akan kembali untuk menyahut cabaran di Litar Tangkak untuk pusingan kelapan, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix, 2022.

Setiap kali berlumba, Syamil menjadi perhatian orang ramai, lebih-lebih lagi dengan tiga kemenangan berturut-turut di awal musim ini. Sejak bermulanya kejuaraan ini, Syamil telah menaiki podium sebanyak lima kali termasuk satu lagi kemenangan di pusingan keenam.

Kelebihannya ternyata terserlah di Litar Sepang dan Litar Tangkak dimana beliau mampu menggunakan kemahirannya dengan mantap untuk meraih masa terpantas. Di litar lain yang memerlukan penguasaan teknikal, Syamil gagal menaiki podium mungkin kerana tidak mencukupi latihan ataupun kekurangan rezeki untuk merebut peluang.

Walaupun Syamil tidak dapat mengelak cabaran, beliau telah tampil dengan strategi untuk mempertahankan kedudukannya di tangga pertama secara keseluruhan dengan jumlah sebanyak 138 mata.

Menurut Syamil, “Untuk tujuh pusingan yang lepas, pasukan saya telah bertungkus-lumus membuat persediaan yang baik bagi jentera saya supaya ia bersesuaian dengan strategi yang telah dirancang.”


“Untuk pusingan yang akan datang, saya banyak melakukan latihan kecergasan untuk memastikan kekuatan fizikal saya selaras dengan keperluan untuk berlumba di Litar Tangkak. Tekanan saya semestinya rakan sepasukan saya yang setanding dengan saya serta pasukan-pasukan yang lain yang sentiasa mencuba untuk meraih kedudukan di podium. Namun begitu, saya akan buat yang terbaik untuk memungut sebanyak mata yang mungkin.”

Menurut pemilik dan pengurus pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, Sivanesan berkata, “Pada pusingan ketujuh lalu, persaingan amat bagus dari pihak pencabar Honda. Untuk pusingan lapan nanti, saya akan memastikan pelumba-pelumba 31 Racing memberikan saingan yang lebih bertenaga bagi mempertahankan kedudukan di podium.”

“Pasukan 31 Racing telah menyediakan jentera yang sama rata bagi pelumba-pelumba dari segi teknikal. Kemenangan di podium nanti bergantung kepada kemahiran serta prestasi pelumba tersebut. Masing-masing ada kelebihan mereka yang tersendiri dan mereka akan menggunakan teknik serta pengalaman yang ada bagi merebut serta mengumpul mata sebanyak yang boleh untuk mencapai gelaran juara di kategori ini dengan berbaki tiga pusingan lagi.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,