fbpx

SHAFIQ AKUI TERTEKAN UNTUK PERTAHAN KEDUDUKAN


Pendahulu kategori Wira, Md Shafiq Ezzariq akui dirinya sedikit tertekan dalam usaha untuk meraih gelaran ketiga berturut-turut buat pasukan Idemitsu Kozi Yam Honda Racing terutama bagi menghadapi saingan Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Temerloh, Pahang, 24 dan 25 September ini.

md-shafiq-ezzariqperebutan-takhta-wira-tertumpu-diantara-shafiq-16-dan-helmi-11Pelumba berusia 17 tahun itu mendahului kedudukan keseluruhan sejak pusingan pertama dan kini mengumpul 149 mata setakat tujuh pusingan lepas. Namun, kedudukannya kini diancam oleh pelumba IUGB AFB Tech Racing, Md Helmi Azman yang telah meraih tiga kemenangan berturut-turut bermula di pusingan kelima dan hanya dibezakan dengan 21 mata dibelakang Shafiq.

“Semuanya berjalan dengan baik sehinggalah saya terjatuh dan mengalami sedikit kecederaan sewaktu di Teluk Intan. Selepas itu sedikit sebanyak prestasi saya terjejas dan pada masa sama Helmi berjaya meraih tiga kemenangan berturut-turut seterusnya merapatkan jurang dari 35 mata kepada 21 mata ketika ini,” jelas Shafiq.

“Secara matematik, saya masih berpeluang untuk meraih gelaran keseluruhan namun dengan hanya berbaki tiga pusingan, saya tidak boleh melakukan sebarang kesilapan. Dengan prestasi Helmi ketika ini, tugas saya akan menjadi semakin sukar pada baki dua pusingan terakhir seandainya tewas lagi kepadanya di Temerloh minggu ini.”

Pasukan Idemitsu Kozi Yam Honda Racing mempunyai rekod cemerlang di dalam mengembangkan bakat pelumba-pelumba muda dari peringkat kebangsaan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Pasukan kami telah memenangi gelaran pertama dalam kelas Wira melalui Khairul Idham Pawi pada tahun 2014 dan pada tahun berikutnya, Harith Farhan Baharin membawa gelaran kedua. Sebagai pelumba paling senior, saya memikul tanggungjawab untuk membawa pulang gelaran ketiga kepada pasukan. Saya akan berusaha untuk tidak mengecewakan harapan seluruh pasukan.

, ,