fbpx

SEJARAH TERCIPTA, 31 RACING CETUS INSPIRASI

Musim 2024 menyaksikan satu lembaran baharu dalam sejarah pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING apabila mereka mencapai kejayaan luar biasa di Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix. Dengan kemenangan dalam dua kategori utama, pasukan ini membuktikan keunggulan mereka di litar, menjadikan musim ini sebagai salah satu pencapaian paling bermakna.

Md Syamil Amsyar Md Iffende mengukir namanya dalam sejarah dengan memenangi perlumbaan Pusingan 10, sekaligus memastikan gelaran juara keseluruhan pertama bagi pasukan dalam kategori CP125. Kejayaan ini turut disempurnakan dengan pengiktirafan sebagai Pasukan Terbaik 2024 bagi kategori tersebut.

Dalam kategori Wira KBS pula, pelumba muda Farres Putra Md Fadhil turut mencipta impak besar pada musim debutnya dengan menamatkan saingan sebagai juara keseluruhan. Kejayaan Farres bukan sahaja berjaya mengembalikan kegemilangan pasukannya dengan kejuaraan ke-5 selepas terlepas peluang mencatat 5 kejuaraan secara berturut-turut pada musim lalu, ia juga adalah bukti keberkesanan sistem pembangunan bakat dan strategi pasukan.

Kejayaan luar biasa ini adalah hasil kerja keras seluruh pasukan. Daniel Raj, pengurus pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, berkongsi pandangan mengenai perjalanan mereka, “Setiap pasukan pasti mendambakan kejuaraan keseluruhan setelah bekerja keras di setiap pusingan. Segala usaha dan penat lelah kami terbayar apabila berjaya merangkul kejuaraan berganda. Ini sesuatu yang sangat berharga untuk pasukan.”

“2023 adalah tahun yang mencabar, terutamanya di kategori CP125. Kami mengambil masa untuk mencari keserasian jentera dan menghadapi cabaran pelumba muda di kategori Wira KBS. Berbekalkan data, pengalaman, dan keyakinan, kami bangkit pada 2024, bermula dari pusingan pertama. Setiap aspek diperbaiki secara konsisten hingga akhir musim.”

“Tidak mudah, tetapi ‘double champion’ kali ini memberi kami semangat positif untuk terus cemerlang. Kami akan berusaha mengekalkan momentum dengan memanfaatkan data sedia ada dan memperbaiki kelemahan,” kata Daniel.

Bukan itu sahaja, mengendalikan pasukan di peringkat kompetitif seperti ini menuntut ketahanan mental yang tinggi serta keupayaan untuk beradaptasi dengan pelbagai situasi. Dalam konteks ini, Daniel menekankan kepentingan kekal tenang dan fokus dalam menghadapi cabaran, “Cabaran adalah lumrah. Sikap tidak mudah melatah adalah penting. Sebagai tulang belakang pasukan, saya harus kekal profesional. Jika saya goyah, pasukan juga akan terkesan.”

Dalam pasukan ini, prinsip kecergasan, disiplin, dan saling menghormati sentiasa dititikberatkan, memastikan semua anggota pasukan sentiasa berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi tekanan perlumbaan. Daniel berkongsi, “Fitness, disiplin, dan hormat. Kecergasan membantu pelumba mengendalikan jentera dengan lebih baik, disiplin menjadi cerminan pasukan, dan saling menghormati memastikan persefahaman yang baik.”

Mengenai sasaran untuk musim akan datang, Daniel percaya dengan peluang pasukannya untuk terus cemerlang, “Kami ingin mempertahankan kedudukan ini. Ini memerlukan jentera terbaik, latihan intensif, dan peningkatan berterusan untuk memastikan pasukan kekal kompetitif dan kekal di puncak persaingan.”

Kejayaan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING pada 2024 adalah bukti dedikasi, strategi yang tepat, dan perpaduan dalam pasukan. Dengan semangat juang yang ditunjukkan, mereka tidak hanya mencipta sejarah tetapi juga menetapkan penanda aras baharu untuk pasukan lain dalam kejuaraan ini.

Tahniah buat PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING atas pencapaian luar biasa ini! Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi untuk terus maju di musim-musim akan datang!