“SAYA MEMPUNYAI KELEBIHAN DI LITAR MEDINI” – SYAMIL

Pusingan 10 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Bandar Medini Iskandar, Iskandar Puteri pada hujung minggu ini. Mampukah Md Syamil Amysar dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing mempertahankan kedudukannya di tangga kedua secara keseluruhan bagi kategori CP125?

Dengan perbezaan mata yang tidak jauh berbeza daripada Idlan Haqimi dari pasukan Zynergys Honda KC Racing Team, kedudukan Syamil masih tidak dapat ditentukan selagi Idlan mempunyai peluang untuk memperbaiki kekurangannya. Lebih-lebih lagi dengan prestasi Idlan yang telah meningkat secara mendadak pada musim ini. Idlan yang telah memulakan musim ini di tempat kelima berjaya melonjak ke kedudukan ketiga setelah meraih dua kemenangan dan dua podium.

Syamil tidak kurang hebatnya dan walaupun beliau hanya berjaya sekali di kedudukan pertama, beliau masih mampu mempertahankan kedudukannya di tempat ketiga teratas sepanjang musim ini dengan persembahan yang konsisten. Pada musim lepas, kedua-dua pelumba gagal mencatatkan keputusan yang memuaskan di litar Medini. Syamil telah mencatat “DNF” manakala Idlan pula hanya mendapat 4 mata di perlumbaan tersebut. Oleh itu, siapakah di antara mereka yang akan mendominasi litar tersebut kali ini?

Menurut Syamil, “Saya mempunyai sedikit sebanyak kelebihan di Litar Medini – banyak selekoh kanan iaitu salah satu kelebihan saya dari segi kemahiran teknikal. Oleh itu, saya yakin bahawa saya dapat mempertingkatkan lagi pencapaian saya secara keseluruhan di litar tersebut di samping memberikan persaingan yang baik kepada pelumba-pelumba yang lain terutamanya Idlan yang semakin mendekati saya. Sudah pasti Idlan akan cuba menamatkan perlumbaan di hadapan saya tetapi saya berjanji akan menggunakan segala pengalaman untuk mempertahankan kedudukan saya.”

“Persediaan saya bersama pasukan adalah banyak dari segi latihan jentera, kecergasan fizikal dan sebagainya. Pasukan saya juga banyak menghabiskan masa untuk mencari pelarasan yang dapat memberikan pencapaian yang optimum. Musim ini boleh dikatakan satu tahun yang mengecewakan bagi saya sebab saya hanya berjaya tiga kali di atas podium. Saya juga banyak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya. Tetapi, saya akan tetap mencuba. Saya berazam untuk memperbaiki kekurangan dan kelemahan supaya dapat memberikan saingan yang lebih hebat di musim akan datang. Matlamat saya hanya satu – iaitu untuk mengorak langkah ke arah kejayaan.”