fbpx

SAMURAI 2K AEROSOL JENAMA NO.1 ASIA

TIADA jalan mudah untuk menembusi pasaran dunia dalam apa juga produk yang dihasilkan, namun ia bukan perkara mustahil buat syarikat tempatan, Samurai 2K Aerosol Limited.

Di Asia, syarikat yang berpengkalan di Skudai, Johor itu memang sudah kukuh memegang status lima bintang kerana mereka satu-satunya pengeluar terbesar produk semburan cat aerosol bagi memenuhi keperluan pasaran di rantau ini.

Dengan tema ‘Kami Mengubah Aerosol, Aerosol Akan Mengubah Dunia’, ia telah membawa syarikat tersebut terus melangkah ke hadapan, sekali gus berjaya untuk bersaing dalam pasaran antarabangsa.

Antara negara yang sudah mereka ‘tawan’ termasuk Indonesia, Thailand, Filipina, Amerika Syarikat dan juga Singapura, sekali gus menjadikan mereka sebagai jenama No.1 di pasaran Asia Tenggara.

Hari ini, produk keluaran Samurai 2K Aerosol Limited itu terus kukuh sebagai jenama No.1 di rantau ini kerana hasilnya memang tidak pernah mengecewakan para pengguna.

Bagi mengupas lebih lanjut mengenai reputasi Samurai 2K Aerosol Limited serta pembabitan mereka dalam kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas, berikut wawancara eksklusif bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ian Ong di pejabatnya di Skudai, Johor baru-baru ini.

 

Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang penubuhan syarikat ini dan bila ia mula beroperasi?

Ian: Sebenarnya syarikat ini mula beroperasi pada tahun 1997 dan pada peringkat awalnya, kami lebih tertumpu untuk menyediakan perkhidmatan kontrak pembuatan atau pengilangan.

Begitupun, kami terus melangkah ke hadapan sehingga produk-produk keluaran syarikat ini berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan mendapat pengiktirafan pengeluar lebel pribadi.

Pengiktirafan tersebut adalah untuk empat produk utama keluaran syarikat ini iaitu bahan pelekat, produk aerosol, pencuci serta bahan cucian industri kimia.

Produk-produk ini boleh dikatakan telah memenuhi keperluan pasaran antarabangsa malah turut diekspot ke Amerika Utara, Eropah dan negara-negara Asean.

Selepas itu, kami memberi fokus untuk  mengukuhkan produk aerosol, satu-satunya jenama utama syarikat ini. Kami terus menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan bagi menjamin kualiti dalam setiap keluaran yang kami hasilkan memberi kepuasan kepada semua pengguna.

 

Kenapa syarikat ini memilih nama Samurai dan lebih memberi tumpuan kepada pengeluaran aerosol? 

 Ian: Soalan ini ramai yang bertanyakan kepada saya. Pemilihan nama Samurai sebenarnya banyak kaitan dengan produk keluaran kami. Para pengguna produk kami pula terdiri daripada mereka yang menggunakan motosikal keluaran Jepun, dan Jepun memang terkenal dengan jolokan Samurai.

Jadi, penggunaan nama Samurai itu amat bertepatan.

Mengenai kenapa kami memberi tumpuan untuk memantapkan aerosol, jawapannya adalah untuk memenuhi keperluan pengguna. Malah, visi kami adalah untuk menempatkan diri di tempat yang betul  serta mencari solusi terhadap keperluan pengguna. Jadi, aerosol inilah jawapan terhadap kehendak pengguna.

 

Apa strategi pemasaran sehingga mampu bersaing di pasaran antarabangsa?

Ian: Kami mengutamakan kualiti dan kualiti itulah yang akan menjadi senjata untuk mengukuhkan jenama syarikat kami di pasaran.

Apabila memiliki produk berkualiti tinggi maka kita mampu bersaing dan setakat ini aerosol yang kami hasilkan telah diterima malah diiktiraf sebagai yang terbaik oleh para pengguna di rantau ini.

Begitupun kami tetap bekerja keras dan sentiasa melakukan kerja-kerja penyelidikan bagi menjamin kualiti produk yang dihasilkan terus kukuh.

Kami juga mendekatkan diri dengan pengguna kerana percaya dengan cara sedemikian, kami mampu untuk terus bersaing.

Dalam erti kata lainnya, kami sentiasa memposisikan diri di tempat yang betul.

Kami juga merupakan satu-satunya pengeluar unggul aerosol berkualiti tinggi di rantau ini dan ia adalah aset penting untuk merangka strategi pemasaran.

Kami juga mempergunakan sepenuhnya saluran sosial media untuk menghebahkan aktiviti syarikat dan pasukan pemasaran kami juga turun ke padang untuk menemui para pengguna.

Kami akan menunjukkan cara-cara menggunakan produk kami dan setiap tahun kami menganjurkan pertandingan mengecat komponen motosikal dalam kalangan pengguna di seluruh negara agar mereka faham bagaimana untuk menggunakannya dengan betul.

Aktiviti ini yang turut diperluaskan kepada para pengguna kami di peringkat Asia, telah mendapat sambutan yang menggalakan, malah ia memberi kesan yang sangat baik terhadap strategi pemasaran syarikat.

 

Siapa pesaing terkuat sama ada di pasaran tempatan mahupun antarabangsa?

Ian: Terus terang saya katakan, setakat ini kami tidak mempunyai pesaingan kuat kerana produk kami boleh dikatakan sebagai jenama No. 1 di pasaran.

Malah, produk kami mendapat pengiktirafan daripada syarikat di Amerika Syarikat dan juga Jerman yang turut memiliki produk yang sama. Dua negara tersebut yang memiliki jenama lain, menganggap produk keluaran kami sebagai yang terbaik.

Kelebihan inilah yang membuka jalan kepada kami untuk melangkah dengan yakin dalam pasaran antarabangsa.

Lagipun, misi kami adalah untuk menakluk dunia dan ia bukan perkara mustahil untuk dicapai. Kami sentiasa memandang ke hadapan, bersesuaian dengan tema ‘Kami mengubah aerosol dan aerosol akan mengubah dunia’.

Setiap keperluan pengguna akan kami penuhi menerusi inspirasi, keinginan, keyakinan serta kemampuan untuk mencari inovasi baharu dalam setiap produk keluaran kami.

Kerja-kerja penambaikan ini tiada kesudahannya dan ia adalah proses yang berterusan. Kami tetap memberi keutamaan agar produk yang dihasilkan oleh syarikat kami terus megah memegang staus No.1 dalam pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

 

Apa jenis cat aerosol yang dihasilkan oleh syarikat ini dan produk mana yang mendapat sambutan?

Ian: Kepakaran kami lebih terarah kepada pengeluaran cat dalam bentuk semburan aerosol yang terdiri daripada pelbagai variasi warna. Keluaran paling mendapat sambutan ketika ini adalah Aerosol 2K yang mempunyai kelebihan tersendiri. Ia direka dalam bentuk yang sangat unik iaitu gabungan pembeku dan pelarut dalam satu tin aerosol. Selain itu, jenama lain adalah Geigi dan Khameleon yang turut mempunyai fungsi masing-masing untuk penjagaan kenderaan atau motosikal anda.

Kami mendapat ilham untuk menghasilkan produk 2K ini kerana berpendapat aerosol yang berbentuk tradisional adalah mustahil untuk mencampurkan dua bahan pembeku dan pelarut atau cat dalam satu tin.

Tambahan pula, campuran dua komponen yang berasingan secara tradisional yang dijual di pasaran adalah lebih rumit dan susah.

Jadi, menyedari hakikat tersebut pasukan penyelidik kami (R&D Samurai) telah mengambil masa selama 5 tahun untuk membangunkan generasi baharu cat Aerosol 2K yang akhirnya berjaya mencari solusi bagi mengatasi kerumitan dalam teknik aerosol tradisional. Kini, produk Samurai Aerosol 2K merupakan satu-satunya produk aerosol dua komponen dalam pasaran dunia.

Produk terbaharu ini juga memberi jaminan kualiti tinggi dan hasilnya seperti memakai pistol semburan di bengekl kereta. Hasilan 2K Samurai ini dapat dikeringkan pada suhu antara 40 darjah celsius hingga 70 darjah celsius. Cara penggunaannya sangat mudah iaitu tekan, kocok dan sembur tanpa perlu menggunakan pistol penyemburan.

Selain itu, setiap produk yang kami keluarkan tetap mematuhi peraturan dalam peruntukan konvensyen Alam Sekitar Antarabangsa dan saya boleh katakan ia sangat selamat dan tidak mencemarkan alam sekitar.

Di bawah produk 2K ini, kami juga menghasilkan beberapa produk perlindungan kenderaan yang lain iaitu ‘Top Coat Clear’ untuk menjaga keadaan kenderaan anda sentiasa nampak bersinar seperti baharu, kita juga ada 2K Epoxy Surfacer yang bertindak sebagai cat dasar untuk melicinkan permukaan objek yang tidak rata serta melindungi kenderaan daripada berkarat dan terkena bahan kimia.

Selain itu produk 2K ini juga menghasilkan aerosol Epoxy Metal Primer yang berfungsi sebagai perlindungan terhadap masalah karat kepada kenderaan anda.

Kita juga menghasilkan 2K Epoxy Truck Bed yang digunakan untuk melapiskan semula permukaan trak yang lama mahupun baharu. Produk ini membantu mencegah kerosakan seperti tercalar, berkarat dan ia adalah kalis cuaca.

Produk 2K Under Carriage pula berfungsi untuk menjaga atau melindungi bahagian bawah kenderaan daripada mengalami kerosakan dengan cepat.

Semua produk ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakan dan kami akan terus melakukan kerja-kerja penyelidikan untuk tujuan penambahbaikan.

 

Bagaimana pula pembabitan syarikat ini dengan kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas dan apakah kesannya setakat ini? 

Ian: Kami mula membabitkan diri dengan Cub Prix sejak tahun 2005 sehingga ke hari ini.

Kami merasakan kejuaraan motosikal terunggul dan satu-satunya di Malaysia ini memang medan yang sangat tepat untuk mempromosikan produk keluaran syarikat kami.

Seperti yang saya katakan pada awal tadi, kami perlu bijak memposisikan diri di tempat yang betul.

Komuniti Cub Prix adalah pengguna terbesar produk kami dan kenapa kami tidak mengambil peluang untuk menjadi sebahagian daripadanya. Malah, para pengikut kejuaraan ini juga sebahagian besarnya terdiri daripada mereka yang menggunakan motosikal dan sudah tentu mereka mempunyai keperluan dengan produk yang kami hasilkan.

Pasukan-pasukan yang bersaing dalam Cub Prix juga mahukan motosikal pelumba mereka kelihatan menarik dan sudah tentunya produk kami adalah jawapannya.

Maka, atas alasan itu, kami tidak seharusnya melepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga kejuaraan hebat ini.

Begitu juga dengan para peminat kejuaraan ini, sudah tentu ada dalam kalangan mereka mahukan motosikal kelihatan cantik dan sekali lagi produk kami akan dapat menyelesaikan kehendak mereka.

Kesan terhadap pembabitan kami dengan Cub Prix ini sangat besar kerana ia turut membantu populariti produk yang kami keluarkan.

Kerjasama ini akan terus dipertahankan dan kami akan memikirkan strategi baharu untuk mempromosikan produk kami menerusi pembabitan dalam Cub Prix.

Mungkin kita boleh fikirkan untuk mengadakan pertandingan mereka bentuk komponen-kompnen motosikal di setiap pusingan melibatkan penyertaan para penonton yang hadir menyaksikan Cub Prix. Ini mungkin boleh difikirkan bersama agar kedua-dua pihak mendapat manfaat daripadanya.

 

Akhir sekali, apa latar belakang Encik Ian, adakah mempunyai pendidikan dalam jurusan kimia atau sebaliknya?

Ian: (Sambil ketawa..hehehe)…Soalan ini memang sering dan ramai yang bertanyakan kepada saya. Terus terang saya katakan bahawa saya tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang kimia, inovasi atau yang berkaitan dengan teknologi produk yang kami hasilkan.

Latar belakang pendidikan saya adalah Sains Politik.

Saya cuma mempunyai keinginan untuk mencuba yang baharu dan melihat apa yang diperlukan oleh pengguna di luar sana. Ia bukan perkara mustahil jika kamu mempunyai minat yang mendalam terhadap sesuatu.

Atas kepercayaan serta keyakinan itu, saya mencuba dan akhirnya berjaya menghasilkan produk yang sememangnya menjadi keperluan pengguna terutamanya yang menggunakan motosikal, pengeluar motosikal mahupun pengusaha bengkel motosikal.

Selepas menempuh kejayaan menghasilkan produk yang berkualiti tinggi ini, kami mula mengambil beberapa pakar untuk diserapkan dalam pasukan penyelidikan dan juga inovasi Samurai Group dan setakat ini syarikat mempunyai 4 orang tenaga penyelidik, pembangunan dan inovasi.

Dalam apa juga yang kami lakukan, kami berpegang dengan konsep ‘AIDIL’ iaitu A – Aspiration; I- Intention atau Innovation; D- Desire; I – Inspiration; dan L – Loyalty.