Pontian, Johor akan menjadi destinasi terbaharu dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS musim ini.
Perkembangan terbaharu itu disahkan promoter kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd baru-baru ini ketika mengumumkan kalendar lengkap bagi saingan Cub Prix Malaysia PETRONAS musim 2019 ini.
Kelewatan pengumuman itu disebabkan pihak promoter baharu menerima pengesahan tarikh daripada tuan rumah yang akan menjadi hos perlumbaan terunggul itu.
Setakat ini, semua tarikh sudah ditetapkan dan perkembangan tersebut pastinya memudahkan semua pihak untuk membuat segala bentuk persiapan yang diperlukan.
Pontian yang merupakan venue baharu bagi kejuaraan berprestij ini, akan menjadi gelanggang untuk pusingan 4 yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 21 Julai nanti.
Dengan pengesahan Pontian sebagai venue baharu itu, Johor telah menjadi hos untuk dua pusingan kejuaraan Cub Prix musim ini selepas Tangkak yang menjadi destinasi untuk pusingan 3 pada 3 hingga 4 Mei lalu.
Apa yang menarik adalah Pontian akan menjadi cabaran baharu buat para pelumba kerana mereka tidak boleh menjangka bentuk litar yang bakal menjadi gelanggang pusingan 4 itu nanti.
Selepas Pontian, kejuaraan ini akan singgah di pantai timur dengan Kuala Terengganu menjadi hos untuk pusingan 5 yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 24 Ogos nanti.
Saingan musim 2019 sudah melalui tiga pusingan dengan Jasin di Melaka menjadi gelanggang untuk pusingan 1 diikuti Batu Kawan, Pulau Pinang (pusingan 2) pada 13 hingga 14 April lalu, diikuti Tangkak, Johor pada 3 hingga 4 Mei.
Ketika ini, saingan Cub Prix Malaysia PETRONAS berehat seketika bagi menghormati bulan Ramadan dan akan kembali menggegar litar di Pontian pada penghujung Julai depan.
Selepas mengharungi tiga pusingan, pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran kini mengungguli kedudukan keseluruhan pelumba bagi kelas CP150cc dengan mengutip 58 mata manakala rakannya, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff, selesa mendahului carta kelas CP115cc dengan 60 mata.
Saingan bagi kelas WIRA diungguli Md Zaki A Zamri (MOS William#LLRKS CYT Racing) dengan kutipan 60 mata.
INFO
KALENDAR LENGKAP KEJUARAAN CUB PRIX MALAYSIA PETRONAS 2019
Pusingan 4
Pontian, Johor – 20 hingga 21Julai
Pusingan 5
Kuala Terengganu – 23 hingga 24 Ogos
Pusingan 6
Teluk Intan, Perak – 7 hingga 8 September
Pusingan 7
Kangar, Perlis – 5 hingga 6 Oktober
Pusingan 8
Kota Bharu, Kelantan – 18 hingga 19 Oktober
Pusingan 9
Jempol, Negeri Sembilan – 16 hingga 17 November
Pusingan 10
Litar Sepang, Selangor – 7 hingga 8 Disember