fbpx

PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING SIMBOL PERPADUAN ARENA MALAYSIAN CUB PRIX

Kurang dari minggu saja lagi, semua rakyat berbilang kaum di negara ini akan menyambut Hari Kebangsaan 2022 yang ke-65. Meskipun sambutan kita pada kali ini sekali lagi dalam norma baharu, namun kecintaan kepada negara masih utuh dan tidak pernah padam.

Keunikan dan keistimewaan Malaysia adalah ia sebuah negara dengan masyarakat berbilang kaum, atau masyarakat yang  majmuk,  iaitu  orang  Melayu,  Cina, India dan sebagainya. Pelbagai faktor boleh dijadikan sebagai wadah erat perpaduan kaum di Malaysia.

Tetapi tiada siapa yang boleh menafikan, SUKAN, wadah paling ulung menggamit semangat patriotisma dalam kalangan masyarakat Malaysia!

Walhal, sukan adalah platform terbaik memangkin semangat patriotisme dan melentur semangat kekitaan tanpa mengira latar belakang, agama serta keturunan. Tidak kisahlah apa jua bentuk kejayaan, secara automatik kita seluruh rakyat Malaysia seolah-olah ‘kita’ sendiri yang bermain sukan itu dan betapa besar impaknya ia meresapi jiwa kita.

Apatah lagi dalam sukan yang berfungsi sebagai pasukan demi kemenangan seorang yang mewakilinya. Tetapi kemenangan itu tidak akan menjadi kenyataan tanpa kerjasama dan komitmen setiap insan dalam satu-satu pasukan tersebut. Justeru, ia layak diraih sebagai kemenangan pasukan.

Simbol perpaduan dalam arena Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix, Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing!

Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing yang secara rasminya mula menyertai Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS pada musim 2019, telah membina reputasi sebagai pasukan gergasi kategori Wira KBS dalam masa tiga tahun. Kemudian mereka yang melebarkan sayap ke kategori CP125, juga membuktikan kedudukan mereka sukar digugat.

Mereka yang melakukan debut pada musim 2019 berjaya merangkul gelaran Juara Wira KBS sulungnya menerusi pelumba muda Mohd Aliff Danial Mohd Asri, dan kemudian mereka mempertahankan gelaran tersebut melalui Rahimi Nabil Razu dan Muhammad Aqil Danial masing-masing bagi musim 2020 dan 2021.

Pasukan yang dikendali oleh bekas Juara Cub Prix 2004, K. Sivanesan, kini kelihatan lebih menyengat dengan rentak persembahan yang cukup menakjubkan apabila menakluki ketiga-tiga kedudukan teratas kategori WIRA KBS bagi musim 2022.

Disebalik kejayaan mereka, siapa yang memainkan peranan penting? Pernah atau tidak kita terfikir siapa yang berusaha tanpa mengira penat lelah demi menyaksikan pelumba pasukan menjulang trofi di podium?

Panas, hujan, letih, semuanya diketepikan, perbezaan ideologi, politik, agama atau bangsa tidak menjadi isu atas nama cinta dan patriotisme untuk melihat pasukannya mengecapi kejayaan.

Mereka adalah ‘krew’ pasukan yang beraksi di belakang tabir!

Kemenangan sesebuah pasukan tidak akan muncul hanya kerana pelumba, malah ia merangkumi beberapa pakar penyediaan jentera ‘ Mekanik’, pemantau perlumbaan sebelum dan selepas dan pelbagai.

Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, antara pasukan yang memiliki ahli yang terdiri pelbagai bangsa yang menampilkan semangat muafakat yang gah demi kejayaan pasukan.

Pemilik dan pengurus, K. Sivanesan menyatakan komunikasi dan sikap saling menghormati antara satu sama lain menjadi kunci utama kemaslahatan pasukan tersebut.

“Dalam pasukan saya, kami ada semua kaum, Melayu, Cina dan India. Roshamin Roslan, Mekanik Enjin & Tenikal, Dennis Lee, Mekanik ‘ Suspension & Technical dan kalau elektrikal, Elangkumarant Thiagu. Pengurus Media sosial pasukan, Danial Raj.

“Saya sendiri seorang pengurus berbangsa India tetapi saya mengurus pelumba-pelumba berbangsa Melayu. Saya tidak pernah ada isu untuk mengendali mereka. Mereka sangat menghormati dan ikut nasihat saya.

“Yang paling penting komunikasi dan sikap menghormati. Tanpa mengira kaum, umur, kedudukan, dalam pasukan ini, sikap menghormati itu akan sentiasa diberi keutamaan.

“Walaupun dalamm keadaan susah atau senang gembira atau sedih kami sentiasa bersatu hati demi mencapai kejayaan, Tanpa mengira warna kulit sama-sama kami mengharungi kerjaya yang kami minat.” kata Sivanesan sambil wajah tidak lekang mengukir senyuman dek keterujaan menceritakan semangat kesukanan dalam pasukan.

Nama Sivanesan bukan asing dalam arena sukan permotoran negara. Beliau merupakan nama yang pernah melakar sejarah pada Kejuaraan MCP pada awal 2000-an. Menurutnya ketika bersara, beliau sudahpun berhasrat untuk menubuh satu pasukan perlumbaan untuk mencungkil dan mempelawa lebih ramai bakat muda dalam sukan jentera dua roda ini.

Lebih menarik, kini merealisasikan hasratnya, pelumba-pelumba pasukan beliau berjaya memperagakan dominasinya pada setiap pusingan sejak pasukan ini mula membuat penampilan pada tahun 2019.

Selepas 6 pusingan pada edisi ke-29, tiga pelumba Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing berjaya berada di tiga tangga teratas carta WIRA KBS.

“31 Racing telah sasarkan Juara keseluruhan kelas WIRA tempat pertama,kedua dan ketiga untuk tahun 2022 ini. Dengan jurang mata sedia ada saya yakin, pelumba-pelumba saya mampu mempertahankan gelaran dan juga capai sasaran kami tahun ini.

“Bukan itu sahaja, kami juga dah mula bersaing di kelas CP125. Jadi saya harap tidak lama lagi kami akan dapat menyertai kelas CP150 tidak lama lagi. Kemungkinan besar musim depan.

“Bagi pusingan 7 di Terengganu minggu ini, kalau boleh kami nak tawan tangga podium dengan meraih tempat pertama, kedua dan ketiga. Saya harap semua akan berjalan lancer dan kami dapat capai matlamat kami.” jelas Sivanesan mengenai saingan seterusnya.

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, Md Syamil Amsyar Md Iffende kini mendahului kelas WIRA KBS dengan 129 mata, dikuti Md Danish Aiman Zamrul di tempat kedua dengan 122 mata dan di tempat ketiga, Md Adam Haikal Jahar dengan 112 mata.

Pusingan ketujuh Kejuaraan Malaysian Cub Prix dijadualkan berlangsung di Litar Perlumbaan Terengganu, minggu ini.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook