fbpx

PENGLIBATAN MASYARAKAT INDIA DALAM ARENA MALAYSIAN CUB PRIX SEMAKIN KURANG – MATHAN KUMARAN MAHU MEMBUKTIKAN SUKAN PERMOTORAN ADA HALA TUJUNYA


Legasi pelumba India dalam arena Malaysian Cub Prix suatu ketika dahulu, jika disebut nama Singarayar, Meganathan, M. Munisparan dan K. Sivanesan, tiada orang yang tidak mengenalinya dalam dunia permotoran dua roda ini.

Tidak boleh dinafikan mereka menggegarkan arena sukan permotoran berprestij negara ini dengan aksinya pada tahun 90-an.

M.Munisparan adalah antara pelumba berbangsa india yang boleh disifatkan sebagai legenda  sekitar era 90an dan juga sinonim dengan identiti Suzuki RG dan HiRev. Beliau juga merupakan musuh ketat Raja Kapcai atau lebih dikenali Wazi dan Meganathan di gelanggang Cubprix.

Selepas era mereka berakhir, legasi mereka disambung oleh seorang lagi pelumba berbangsa India, Sasitharen Sukumaran, pelumba kelahiran Selangor yang tumbuh pada era 2000an. Pada musim pertamanya dalam kelas ini, Sasi telah berjaya meraih tempat ketiga keseluruhan dan nama Sasi mula disebut-sebut sebagai pengganti para juara berketurunan India dan sememangnya itulah yang diimpikannya.

Namun impian itu tidak kekal lama, kini Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix hanya memiliki seorang pelumba berbangsa India, S. Mathan Kumaran yang kini beraksi dalam kategori Petronas Sprinta Pro-Am Cup.

Cukup ketara, negara semakin ketandusan pelumba berbagai kaum terutamanya kaum India. Mungkin apakah faktor yang membuatkan kurangnya minat warga muda terhadap sukan permotoran ini?

Ini pendapat pelumba berusia 33 tahun, Mathan yang mula berkecimpung dalam sukan permotoran dua roda sejak 2009.

“Pelumba India yang kini dalam MCP hanya saya seorang sahaja. Pada tahun 90-an memang ramai, bukan sahaja India tetapi pelbagai bangsa. Masa kita tengok pun memang teruja dan sangat menarik sebab merangkumi pelbagai kaum. Kita tengok nama pun Meganathan, Sook Cheong, Sivanesan, Shahrol Yuzy dan ramai lagi. Tetapi sekarang dah kurang terutamanya pelumba India.

“Saya tidak pasti mereka tidak berminat atau tidak mempunyai garis panduan untuk menjejaki arena sukan permotoran dan ada juga kemungkinan mereka rasa sukan permotoran ini tiada hala tujunya.

“Jadi saya sebagai seorang pelumba yang berbangsa India dalam MCP ketika ini, ingin memainkan peranan dan meletakkan satu ‘trademark’ bahawa sukan permotoran ini ada hala tujunya. Bukan sahaja sebagai pelumba professional malah juga dalam bidang pengurusan.”

“Saya juga berharap keberadaan saya di MCP ini akan mempengaruhi atau mempelawa lebih ramai golongan muda untuk menguji bakat mereka dalam sukan permotoran ini. Jadi sesiapa yang berminat sudah pastinya boleh mendekati pihak Cub Prix melalui pelbagai medium. Dulu mungkin agak sukar tetapi dengan teknologi yang kita ada sekarang ada banyak cara untuk mendapatkan peluang berada di litar sebenar,” jelas Mathan.

Mathan merupakan anak kepada bekas pelumba Cub Prix, Suria Kumaran yang berada dalam arena MCP hampir tiga dekad. Bukan sahaja sebagai pelumba malah juga sebagai Ketua Mekanik dan Pemilik pasukan selepas bersara. Beliau telah menabur bakti kepada sukan permotoran ini sehingga menghembus nafas terakhir pada tahun 2018.

Kini Mathan tekad mahu meneruskan legasi ayahnya di Malaysian Cub Prix dengan menggunakan segala ilmu yang diturunkan kepadanya dengan harapan suatu hari nanti boleh memiliki pasukan tersendiri untuk melahirkan lebih ramai pelumba.

Bagaimanapun buat masa ini, Mathan masih belum mempunyai penaja dan segala perbelanjaan bagi setiap perlumbaan ditanggung sendiri.

Katanya “ Tahun ini kami masih lagi mencari penaja. Bukan sahaja untuk MCP tetapi juga untuk MBK dan MSF. Kami sebagai ‘privateer’ terpaksa mengeluarkan duit sendiri sehingga kami berjaya dapatkan penaja. Selalunya kami tak mengharapkan penaja-penaja syarikat besar sebab kami bukan pasukan besar.

Demi minat setiap pelumba dalam pasukan kami akan berusaha mencari dana sedaya upaya untuk meneruskan saingan kami. Kami harap prestasi sebelum ini juga akan diberi perhatian dan kami boleh dapat sokongan penaja bagi musim depan.”

Prestasi Mathan bagi musim ini tidak begitu memuaskan, namun pelumba kelahiran Selangor itu optimis mampu melakar catatan yang lebih baik pada 4 pusingan terakhir Kejuaraan Malaysian Cub Prix.

Mathan akan meneruskan perjuangannya di Litar Permotoran Terengganu, minggu ini bai pusingan ke-7.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook