Pihak Promoter Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bersedia mempertimbangkan kemungkinan untuk menambah jumlah kumpulan berikutan peningkatan ketara jumlah pelumba dalam kategori persendirian – PETRONAS Sprinta Pro-Am sebaik pusingan ketiga berakhir di Kangar, Perlis, Ahad lepas.
Sepanjang pusingan kedua di Pulau Pinang dan di Perlis, kategori tersebut mendapat penyertaan maksimum 48 pelumba persendirian di grid, dan jika sambutan menggalakkan terus diterima, pihak promoter kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd mungkin mengubah jadual perlumbaan dan mewujudkan tiga kumpulan untuk sesi latihan dan kelayakan.
“Pendaftaran pelumba kategori persendirian sepanjang dua pusingan lepas merupakan yang tertinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ketika ini pelumba kategori Pro-Am dibahagikan kepada dua kumpulan – A dan B. Jika sambutan seperti ini berterusan ke pusingan berikutnya di Kelantan dan lain-lain, kami sedia untuk menambah Kumpulan C mengikut kesesuaian jumlah peserta,” jelas Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd.
Kelas Pro-Am merupakan singkatan kepada pelumba ‘Amatur Profesional’ khusus buat pelumba yang tidak mempunyai kontrak bersama pasukan ataupun penaja korporat. Pelumba berlumba menggunakan motosikal sendiri dengan peraturan ubahsuai minimum sebagai langkah untuk mengurangkan kos perbelanjaan peserta. Setiap pusingan menawarkan jumlah pungutan mata untuk mencari juara keseluruhan kategori tersebut pada penghujung musim.
Selepas tiga pusingan, pelumba dari Terengganu, Mu’izz Al-Atrash Abd Ghani mendahului kedudukan dengan 65 mata selepas meraih tiga podium termasuk gelaran juara di Kangar.
Ron percaya penjenamaan semula kelas persendirian ini merupakan antara faktor kategori ini semakin mendapat sambutan mereka yang ingin berlumba secara kompetitif di pentas perlumbaan profesional.
“Kelas persendirian ini ditukarkan kepada kategori Pro-Am pada tahun 2014. Pelumba persendirian memainkan peranan penting mereka kepada perlumbaan Cub Prix, jadi kami turut memberikan status mereka sebagai pelumba amatur profesional,” jelas Ron.
“Selain itu perlumbaan Pro-Am ini turut disiarkan dalam siaran rangkuman perlumbaan di TV1. Sokongan yang diberikan oleh stesen televisyen kerajaan ini juga mencetuskan minat terhadap kategori ini.