fbpx

PELUMBA PETRONAS SPRINTA YAMAHA-31 RACING SAPU BERSIH KELAS WIRA

Pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing sapu bersih gelaran perlumbaan akhir kelas Wira pada saingan Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas yang berakhir di Litar Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra Kangar, Perlis hari ini.

Mereka menamatkan perlumbaan 12 pusingan itu dengan penyudah 1-2-3 yang menyaksikan Awal Al Fikri Yusni muncul juara dengan catatan masa 9:39.466 saat (s) manakala Md Haziq Rosmaza di tempat kedua dengan masa 9:46.709s.

Tempat ketiga menjadi milik Md Aliff Danial Md Asri yang menamatkan perlumbaan tersebut dengan catatan masa 9:46.763s.

Ia pencapaian yang amat bermakna buat pasukan tersebut yang agak kehilangan rentak pada awal saingan musim ini.

Ternyata beberapa kelemahan yang mereka lalui sebelum ini telah mematangkan sikap barisan pelumba bimbingan pengurus, Sivanesan itu sehingga mampu meletakkan diri mereka sebagai juara.

Keadaan litar yang agak licin ekoran hujan lebat, ternyata tidak mengganggu rentak tunggangan anak-anak buah Sivanesan yang kelihatan sangat stabil mengharungi perlumbaan di litar sejauh 0.949 kilometer (km) itu.

Prestasi jentera mereka stabil dan setiap selekoh ditawan dengan baik meskipun mereka dilihat tetap berhati-hati melakukan ketika melakukan asakan.

“Ia pencapaian yang sangat memuaskan kerana para pelumba tahu apa yang perlu dilakukan ketika berada di gelanggang.

“Saya berharap kemenangan ini akan terus membakar semangat para pelumba bagi mengharungi baki saingan musim ini,” jelas Sivanesan.

Selepas berakhirnya perlumbaan hari ini, Aliff yang sebelum ini muncul juara pada Pusingan 2 (Batu Kawan) dan Pusingan 5 (Terengganu) kekal mendahului kedudukan keseluruhan dengan meraih 111 mata manakala pelumba pasukan MOS William #LLRKS CYT Racing, Md Zaki Ahmad Zamri di tangga kedua dengan 110 mata.

Keputusan (Lima teratas)

Awal Al Fikri Yusni (SEL) Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing – 9:39.466s

Md Haziq Rosmaza (KUL) Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing – 9:46.709s

Md Aliff Md Asri (JOH) Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing – 9:46.763s

Md Norhakim Norhafizullah (KTN) ONEXOX SAG Team – 9:50.582s

Md Adib Md Asri (JOH) ELF Koyoko Honda KC Racing Team – 9:50.833s

Kedudukan keseluruhan 

Md Aliff Md Asri (JOH) Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing – 111 mata

Md Zaki Ahmad Zamri MOS William #LLRKS CYT Racing – 110

Md Haziq Rosmaza – (KUL) Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing – 75

Md Adib Md Asri (JOH) ELF Koyoko Honda KC Racing Team – 66Awal Al Fikri Yusni (SEL) Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing – 64