fbpx

MUSIM 2025, IRFAN HAYKHAL BERSAMA PASUKAN BARU?

Pada musim 2024, Md Irfan Haykhal Amidi berjaya menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2024, walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Sebagai pelumba bersama pasukan Honda KC Racing, Irfan menamatkan musim dengan cemerlang, meraih empat kedudukan podium—dua kemenangan dan dua tempat kedua—yang membawa beliau menduduki tempat ketiga keseluruhan dalam kategori CP125.

Irfan mengakui bahawa musim 2024 adalah musim yang cukup mencabar untuknya.

Walaupun berdepan dengan masalah teknikal yang merencatkan langkahnya di pertengahan musim, Irfan tetap berjaya memastikan kedudukannya berada kelompok tiga teratas. Namun, beliau mengakui bahawa ada sasaran yang tidak tercapai. “Mengekalkan prestasi sepanjang musim 2024 agak mencabar bagi saya. Antara perkara yang saya sasarkan namun tidak tercapai adalah untuk menjadi juara keseluruhan,” jelas Irfan. “Dari awal musim, prestasi saya agak baik, namun disebabkan beberapa masalah teknikal, prestasi saya menurun dan saya terpaksa akur dengan kedudukan tempat ketiga keseluruhan.”

Dengan musim baru 2025 sudah semakin hampir, ramai peminat sukan permotoran tanah air tertanya-tanya mengenai langkah seterusnya bagi Irfan. Ada khabar angin yang mengatakan bahawa beliau akan berpindah ke pasukan baru, dan Irfan sendiri tidak menafikan desas-desus tersebut. “Betul, saya akan membawa cabaran yang baru bersama pasukan yang baru pada musim 2025,” ujar Irfan dengan penuh keyakinan. “Tunggu pengumuman rasmi nanti!”

Walaupun begitu, Irfan tetap memberi penekanan bahawa beliau masih akan kekal dengan Honda. “Untuk musim 2025 ini, saya masih akan tetap bersama Honda dalam kategori dan pasukan. Tetapi apa yang akan berlaku di masa depan, kita tunggu sahaja.”

Bagi Irfan, walaupun berpindah ke pasukan baru, beliau tetap rendah diri mengenai harapan untuk musim baru ini. “Harapan saya untuk tahun ini tidak terlalu tinggi. Saya akan lebih fokus untuk memberikan yang terbaik dan memperbaiki segala kelemahan daripada tahun 2024,” tambahnya lagi. “Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk memberikan yang terbaik bukan hanya untuk pasukan baru saya, tetapi juga untuk diri saya sendiri. Saya ingin membuktikan bahawa saya mampu menghadapi cabaran ini dengan semangat dan tekad yang lebih kuat.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *