Saingan Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di LYL International Karting Circuit pada hari ini menyaksikan pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING, Ahmad Malek Ridha, mempamerkan tunggangan berprestasi tinggi untuk mengungguli sesi Kelayakan kategori WIRA.
Malek mencetus sensasi di litar apabila mencatatkan masa terpantas 1’14.531s pada kemuncak sesi penentuan tersebut. Catatan cemerlang ini bukan sahaja meletakkan beliau gah di takhta teratas, malah menjadikannya satu-satunya pelumba yang berjaya memecahkan tembok masa 1 minit 15 saat. Kejayaan ini sekaligus menyuntik kelebihan moral yang besar buat dirinya menjelang perlumbaan sebenar esok.
Lebih mengagumkan, kejayaan Malek melengkapkan penguasaan cemerlang kem PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING apabila rakan sepasukannya, Nuzzul Ady Muhammad Sudin, menyambar petak kedua grid dengan catatan masa 1’15.034s. Sementara itu, Md Fairil Hazmi Farid Sezli dari pasukan IGOL BROTHERS 7 TECH RACING memberikan tentangan hebat untuk melengkapkan barisan tiga terbaik menerusi catatan 1’15.529s.
Terdahulu, corak persaingan pada sesi sebelah petang berlangsung sangat terbuka tatkala pelumba menyesuaikan diri dengan corak litar. Sesi Latihan Bebas 1 menyaksikan Md Akid Mohd Shah Khearul Nisiam dari HONDA RS MEGATECH RACING TEAM mendahului carta dengan catatan 1’132.205s. Namun, intensiti semakin hangat pada sesi Latihan Bebas 2 apabila pelumba IGOL BROTHERS 7 TECH RACING, Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki, melonjak ke kedudukan teratas dengan 1’15.696s.
Malek yang konsisten berada di kedudukan dua terbaik sepanjang sesi latihan bebas akhirnya menggunakan percaturan strategik pada sesi penentuan Kelayakan untuk memintas kesemua seterunya. Turut melengkapkan kelompok lima terpantas kelayakan adalah Adi Putra Anahar dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM di kedudukan keempat dengan catatan masa 1’15.565s dan Md Al-Syafiq di tempat kelima pada 1’15.592s.
Malek berkata, “Untuk pusingan ini, keadaannya agak berlainan berbanding pusingan lain bagi pasukan kami kerana persaingan berlangsung pada waktu malam. Pada sesi latihan bebas tadi, saya sudah menemui pelarasan motosikal yang sesuai. Namun, apabila memasuki sesi kelayakan sebelah malam, cuaca bertukar sejuk. Saya dan pasukan perlu mencari semula pelarasan baharu yang bersesuaian dengan keadaan malam. Semua orang bekerja keras tadi, dan saya juga berusaha menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk ini secepat mungkin.”
“Pada sesi kelayakan tadi, cengkaman tayar agak kurang disebabkan cuaca sejuk. Apapun, kami semua sudah memberikan yang terbaik. Alhamdulillah, saya mula dapat menyesuaikan diri dengan keadaan malam. Untuk malam ini, kami berpuas hati dengan catatan masa yang dirakamkan kerana jurang dengan pelumba pasukan lain di belakang kami juga agak jauh.”
“Untuk sesi pemanasan badan esok, kami mempunyai perancangan berbeza. Bagi perlumbaan pula, saya dan rakan sepasukan, Nuzzul, akan mengatur strategi terbaik untuk meraih kedudukan terdepan.”
TOP 5 FASTEST – QUALIFYING
1. AHMAD MALEK RIDHA – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (1’14.531s)
2. NUZZUL ADY MUHAMMAD SUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (1’15.034s)
3. MD FAIRIL HAZMI FARID SEZLI – IGOL BROTHERS 7 TECH RACING (1’15.529s)
4. ADI PUTRA ANAHAR – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (1’15.565s)
5. MD AL-SYAFIQ M AL AMIRUL ZAKI – IGOL BROTHERS 7 TECH RACING (1’15.592s)

