“LITAR MEDINI UNIK” – AKID

Pusingan 10 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Bandar Medini Iskandar, Iskandar Puteri pada hujung minggu ini. Mampukah Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing berikan cabaran terbaik untuk memperbaiki atau mengekalkan kedudukannya di CP150?

Musim ini terbukti agak mencabar bagi Akid yang sebelum ini telah tampil dengan persembahan dan pencapaian yang mantap selama dua musim berturut-turut. Namun begitu, dengan perubahan regulasi yang telah ditetapkan pada musim ini, Akid tidak mampu memberikan saingan secukupnya untuk mempertahankan gelaran juara mahupun kedudukan kedua teratas. Walaupun Akid masih berada di kelompok tiga teratas, beliau masih perlu memperbaiki kekurangan supaya dapat meneruskan sainganya secara kompetitif dengan pelumba-pelumba lain.

Dengan pesaing-persaing terdekat Kasma Danial dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dan Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Estremo Yuzy Racing yang sentiasa memberikan persaingan yang hebat, bolehkah Akid memperbaiki atau mengekalkan kedudukannya pada masa kini dan menamatkan musim ini dengan pencapaian yang memuaskan? Pada musim lepas, Akid telah meraih kejuaraan awal di litar Medini setelah menamatkan perlumbaan di tempat pertama.

“Musim ini memang boleh dianggap sebagai salah satu musim yang mencabar, walaupun berjaya meraih kejuaraan dua kali pada tahun 2023 dan 2024. Dari sudut pandang keseluruhan, terdapat beberapa faktor yang boleh dikatakan memainkan peranan penting. Prestasi jentera tidak begitu konsisten berserta dengan syarat-syarat perlumbaan yang berbeza pada tahun ini membuatkan ia lebih sukar. Selepas bergelar juara, ada harapan tinggi yang perlu dipikul. Ini kadangkala boleh menjadi beban tambahan yang menjejaskan prestasi secara keseluruhan. Namun begitu, dapat meraih dua kejuaraan dalam musim yang mencabar adalah satu pencapaian besar and walaupun musim ini tidak seperti yang dijangka, saya masih gembira dengan pencapaian saya.”

“Musim lepas di Medini sememangnya membawa kenangan manis dengan kejayaan meraih kejuaraan lebih awal. Namun, untuk musim ini, pendekatannya perlu sedikit berbeza terutama apabila sasaran utama adalah untuk kekal kompetitif di litar yang semakin mencabar ini. Data dari perlumbaan sebelumnya di Medini tidak dapat dianalisis untuk mengenalpasti kekuatan dan juga ruang untuk penambahbaikan. Walaupun pernah menakluki Medini, cabaran musim ini memerlukan pendekatan lebih menyeluruh. Litar Medini sememangnya unik dan mempunyai karekteristik tersendiri. Ia bukan sekadar soal laju, tetapi lebih kepada teknik, fokus dan strategi yang tepat. Dari segi permukaan litar, kadang-kadang ada bahagian yang kurang “grip” atau berubah disebabkan cuaca, jadi penyesuaian cepat sangat penting.

Memang tidak dinafikan, Azroy dan Kasma menunjukkan prestasi yang semakin konsisten dan mantap sejak kebelakangan ini. Buat masa sekarang, ia begitu sukar untuk lawan dengan keadaan sekarang. Walau bagaimanapun, saya perlu menjaga mental dan fizikal saya untuk masa akan datang. Untuk musim hadapan, fokus utama saya adalah untuk terus tingkatkan prestasi secara menyeluruh, bukan hanya dari segi keputusan di litar, tetapi juga dari aspek konsistensi, strategi dan pembangunan diri sebagai pelumba profesional. Sasaran bukan hanya menang satu-dua perlumbaan, tapi kekal dalam kelompok teratas setiap kali turun berlumba.”