KEJUARAAN Cub Prix Malaysia Petronas yang kini sudah berusia 26 tahun, bukan sekadar menyajikan persaingan sengit di atas litar, tetapi turut memainkan peranan mempromosikan aspek-aspek keselamatan jalan raya.
Jika ada yang mempunyai persepsi bahawa para pelumba yang bersaing dalam Cub Prix merupakan ‘mat rempit jalanan’, ia adalah tanggapan yang salah.
Mereka merupakan pelumba profesional terlatih, namun di luar litar gaya pemanduan mereka adalah berbeza dan mengamalkan tahap disiplin yang tinggi.
Itu antara kata-kata Inspekter Asiqa Shafiq Ramlee dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian ketika memberi taklimat mengenai gaya pemanduan berhemah pada Klinik Cub Prix anjuran Safe Aim Mutual Sdn Bhd di Kolej Matrikulasi Johor, Pontian pada 19 Julai lalu.
Klinik yang dihadiri 100 pelajar kolej berkenaan, dianjurkan sempena Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 di Pontian, Johor.
Dua topik utama dibentangkan iaitu gaya pemanduan berhemah ketika di jalan raya serta langkah-langkah untuk mengejar impian bergelar pelumba.
Sepanjang sesi tersebut, Inspekter Asiqa lebih memberi tumpuan terhadap aspek-aspek keselamatan jalan raya serta peraturan yang perlu dipatuhi bagi memberi kesedaran kepada semua pengguna jalan raya.
“Gaya pemanduan yang tidak berhemah bukan untuk dipamerkan di atas jalan raya kerana ia akan mengganggu pengguna jalan raya yang lain.
“Jika mempunyai impian untuk menjadi pelumba, ikutilah saluran yang betul untuk mempelajarinya dan bukan melakukannya di atas jalan raya.
“Ketika ini banyak akademi sukan pemotoran ditubuhkan bagi mendidik anak-anak muda yang mempunyai impian untuk bergelar pelumba, malah akademi-akademi ini turut memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan,” ujar Asiqa.
Sesi kedua klinik tersebut adalah memberi penerangan mengenai langkah-langkah utama yang perlu dipatuhi sebelum seseorang itu bergelar pelumba.
Taklimat mengenainya disampaikan oleh bekas pelumba negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.
Sepanjang sesi tersebut Yuzy menjelaskan kepada para peserta mengenai keperluan asas dalam sukan pemotoran yang wajib menggunakan peralatan keselamatan terutama sut perlumbaan, sarung tangan, kasut, topi keledar yang dibenarkan dan juga alat pelindung bahagian belakang badan.
Menurut Yuzy, banyak proses yang perlu dilalui walaupun ia dilihat mudah, namun tidak semua bakat boleh diambil sebagai pelumba kerana berat badan mahupun ketinggian turut diambil kira.
“Peringkat permulaan (jika berhasrat untuk bergelar pelumba) hendaklah menyertai klinik-klinik sukan pemotoran dan peserta mesti berusia bawah 10 tahun.
“Jika sudah mahir dan faham mengenai cara-cara untuk mengendalikan motosikal, ia akan memudahkan proses pembangunan berikutnya serta mendapatkan lesen perlumbaan,” jelas Yuzy.
Sepanjang sesi tersebut, Yuzy telah mengajak para peserta untuk mengenali komponen-komponen yang diperlukan untuk sesebuah jentera yang digunakan untuk berlumba.
Mereka juga diberi tunjuk ajar bagaimana untuk mengawal jentera agar berada dalam keadaan stabil menerusi pengawalan pergerakan badan.
Ternyata, ramai yang tidak puas kerana sesi tersebut hanya berlangsung selama tiga jam.
Klinik Cub Prix merupakan acara sokongan pada setiap pusingan kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas bagi memberi penerangan atau kesedaran terhadap keselamatan jalan raya.