Pusingan 10 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di Bandar Medini Iskandar, Iskandar Puteri, Johor menyaksikan Adie Putra Sukarno dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR muncul sebagai pelumba terpantas pada sesi kelayakan bagi kategori CP125, mencatat masa 44.511s.
Perhatian sesi ini turut tertumpu pada pendahulu kejuaraan, Izam Ikmal Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, yang memburu tempat pertama. Namun nasib tidak menyebelahinya apabila Izam mengalami kejatuhan buat kali ketiga berturut-turut, berlaku di selekoh pertama dengan corak yang sama sejak sesi Latihan 1 dan 2. Kejadian ini menimbulkan tekanan, memandangkan Izam hanya memerlukan 1 mata untuk mengesahkan gelaran juara keseluruhan, tetapi keadaan jentera dan kemalangan itu tampak membataskan peluangnya.
Sementara itu, Adie mengejutkan ramai dengan aksi cemerlangnya, memberi amaran awal bahawa beliau akan menjadi pesaing utama untuk perebutan petak grid pertama pada perlumbaan esok. Menyusul di belakang Adie, Md Syamil Amsyar Md Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING mencatat masa 44.821s, memastikan tempat kedua sesi kelayakan.
Kejutan lain turut datang daripada Md Akif Abdullah dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM, yang baru dinaikkan ke CP125 pada pusingan ini apabila berjaya menembusi kelompok tiga terpantas dengan masa 44.950s.
Adie berkata, “Hari ini saya cuba beri yang terbaik di atas trek, dan Alhamdulillah, motor kali ini berada dalam keadaan cemerlang. Saya berpuas hati dengan prestasi yang dicapai setakat ini, dan esok saya akan berjuang habis-habisan untuk menghadapi cabaran perlumbaan, dengan harapan dapat menunjukkan prestasi terbaik kepada penyokong dan pasukan saya.”

