Lubuk bakat baharu di Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix, kategori WIRA KBS menyerlah dari segi tahap kompetitif dengan kehadiran pasukan baharu, Yamaha Estremo 27 Racing pada edisi ke-30.
Turun dengan prinsip tidak mahu memberi ruang untuk dilayan sebagai underdog, pasukan Estremo 27 membuktikan kehandalannya pada penampilan sulungnya di saingan berprestij tinggi kebangsaan itu dengan menghuni tangga kedua kategori WIRA menerusi Ahmad Iqram Danish Ahmad Ghazali, tangga ke-enam milik Emil Idzhar Ezuan dan di tangga ke-lapan Mohd Adib Arsyad.
Selepas lima pusingan, tetamu baharu itu berjaya menakluki kelompok sepuluh teratas!
Situasi ini sekaligus menyaksikan Estremo 27 memberi cabaran hebat kepada juara bertahan, tiga tahun berturut-turut, pasukan milik dikendali bekas Juara Cub Prix 2004, K. Sivanesan. Bukan hanya sekadar meningkatkan tahap kompetitif saingan itu sendiri malah juga menampilkan drama menarik di setiap litar.
Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing pula yang secara rasminya mula menyertai Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS pada musim 2019, telah membina reputasi sebagai pasukan gergasi kategori Wira KBS dalam masa tiga tahun. Kemudian mereka yang melebarkan sayap ke kategori CP125, juga membuktikan kedudukan mereka sukar digugat.
Mereka yang melakukan debut pada musim 2019 berjaya merangkul gelaran Juara Wira KBS sulungnya menerusi pelumba muda Mohd Aliff Danial Mohd Asri, dan kemudian mereka mempertahankan gelaran tersebut melalui Rahimi Nabil Razu dan Muhammad Aqil Danial masing-masing bagi musim 2020 dan 2021.
Apatah lagi pada musim lalu, mereka menyapu bersih tiga kedudukan teratas kategori WIRA dengan rentak persembahan yang cukup menakjubkan. Turut membuktikan pengendalinya, Sivanesan masih berbisa dengan melahirkan lebih ramai pucuk muda yang kini menyerlah di peringkat kebangsaan.
Sudah pastinya pencapaian mereka dalam tempoh 3 tahun ini dan kini masih mengekalkan momentum kemenangan itu, rata-rata membuat peminat sukan permotoran tanah air meletakkan harapan tinggi terhadapnya.
Persoalannya di sini, adakah kedudukan 31 Racing tergugat dengan kehadiran Estremo 27?
Sedikit pun tidak gentar dengan persaingan kali ini, Sivanesan optimis mereka berada di landasan tepat untuk meraih kemenangan dan beliau juga menekankan tidak mahu fokus terhadap kemampuan pasukan lain malah hanya mahu memikirkan peningkatan pasukan sendiri.
“Kalau melihat saingan kali ini, pelumba-pelumba edisi lalu telah ke kategori lebih tinggi dan kami juga menampilkan pelumba yang membuat debut di kategori WIRA. Jadi saya meletakkan fokus saya sepenuhnya terhadap membentuk mereka menjadi pelumba yang mampu memberi saingan di litar kepada semua pelumba yang beraksi. Saya fokus kepada Raiyan, Syakir dan juga Amirun, mengajar mereka cara-cara menakluk trek Baharu, bagaimana hendak bekerjasama sebagai satu pasukan dan juga cara berkomunikasi.
“Cara berkomunikasi antara satu sama lain itu sangat penting bagi satu pasukan walaupun hanya satu pelumba yang akan mengendali jentera tetapi di belakang tabirnya bagi memastikan semua berjalan lancer kita perlu bergerak secara berpasukan. Jadi, ini lah fokus saya dan saya langsung tidak akan fikir tentang pasukan lain.
“Semua pasukan yang berentap dalam kejuaraan ini pasti ada style sendiri untuk melakar kemenangan. Semua mahu beraksi dengan baik dan mahu berada di podium. Jadi, lebih baik saya fokus pada pasukan saya sendiri dari saya fikir apa perancangan mereka.” jelas Sivanesan.
Pelumba 31 Racing, Amirun Haziq kini mendominasi kategorinya dengan mengutip 94 mata dan berbaki lagi lima pusingan, kedudukannya agak sukar digugat. Bagaimanapun, seperti kita semua sedia maklum, ini adalah perlumbaan dan apa juga akan berlaku di mana-mana pusingan yang mampu mengubah kedudukan setiap pelumba.
Sivanesan tetap yakin anak buahnya tidak akan menghampakan beliau.
“Mereka adalah pelumba dan mereka masih mempelajari liku-liku dunia permotoran. Terutamanya pada saingan minggu ini di Teluk Intan, kesemua pelumba saya tidak pernah berlumba di sana. Mereka tidak memiliki apa-apa pengalaman dan ini adalah masanya untuk mereka menimba ilmu.
“Apapun saya percaya dengan pengalaman dan tips yang sedia ada serta cara tunggangan yang lebih matang mereka mampu menguasai litar kecil itu dengan cara mereka sendiri. Siapa yang pandai berlumba mereka akan dapat menaiki podium, itu sahaja saya boleh komen.” katanya. Pengalaman yang lebih dua dekad dalam dunia permotoran sebagai pelumba dan kini sebagai pengendali auranya tetap dikagumi dan pengalamannya sangat berharga. Ia turut dibuktikan dengan pencapaian 31 Racing setakat ini.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook