fbpx

KASMA DALAM KELAS TERSENDIRI


RAMDAN TAMATKAN MUSIM 2017 SEBAGAI JUARA

Kasma Daniel Kasmayuddin berada dalam kelas tersendiri selepas mencatat nama selaku pelumba pertama muncul juara keseluruhan dalam tiga kategori berbeza secara berturut-turut sebaik pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2017 melabuhkan tirai di Dataran Bandar Penawar, Johor, hari ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Motor yang telahpun mengesahkan gelaran keseluruhan sebaik pusingan kesembilan di Pulau Pinang berakhir, awal November mengakhiri musim 2017 dengan mengumpul 138 mata keseluruhan termasuk lima gelaran juara.

Bagaimanapun, hasrat pelumba kelahiran Johor itu untuk menamatkan musim dengan muncul juara di laman sendiri tidak kesampaian setelah sekadar berada di kedudukan keempat yang menyaksikan kemenangan menjadi milik rakan sepasukan, Mohd Ramdan Mohd Rosli dengan masa keseluruhan 19’42.832s. Tempat kedua menjadi milik Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) dengan masa 19’43.972s.

Kasma yang bermula dari petak pertama ketinggalan di kelompok pertengahan pada pertengahan perlumbaan setelah dua kali terjatuh namun berjaya bangkit untuk tamat di kedudukan keempat setelah dipintas pada saat akhir oleh Mohd Helmi Azman (Onexox TKKR Racing).

“Perasaan saya bercampur-baur. Walaupun gembira dengan gelaran keseluruhan, namun saya agak kecewa kerana gagal memenangi perlumbaan terakhir sebagai hadiah kepada penyokong dan keluarga di laman sendiri,” jelas Kasma.

Tambahnya, “Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan apa yang dicapai pada hari ini. Bukan mudah untuk menjuarai tiga kategori perlumbaan secara berturut-turut. Kerja keras dan pengorbanan saya, keluarga dan pasukan dibayar dengan kejayaan. Namun perjalanan saya masih jauh dan lebih banyak cabaran menanti pada masa akan datang.”

Hadiah kepada pemenang-pemenang disampaikan oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Sementara itu, dalam kategori CP115, Md Akid Aziz yang telahpun bergelar juara keseluruhan menamatkan musim 2017 dengan cemerlang apabila meraih kemenangan keenam peribadi untuk mengumpul 180 mata keseluruhan.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa 15’29.993s diikuti Ahmad Syukran Aizat (PETRONAS SPrinta Yamaha – CKJ) kedua, 15’30.301s dan rakan sepasukan Akid, Md Haziq Md Fairues ketiga, 15’31.807s.

Haziq kekal di tangga kedua keseluruhan dengan 123 mata diikuti Syukran ketiga, 114 mata.

 

KEPUTUSAN

CP150

1 Md Ramdan Rosli (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 19:42.832s

2 Md Azhar Abd Jalil (SGR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 19:43.972s

3 Md Helmi Azman (SGR) Onexox TKKR Racing Team 19:48.798s

4 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 19:48.809s

5 Md Fitri Ashraff Razali (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 20:02.221s

 

Kedudukan Keseluruhan

1 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 138 mata

2 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 107 mata

3 Md Ramdan Rosli (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 95 mata

4 Ahmad Fazli Sham (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 84 mata

5 Md Azhar Abd Jalil (SGR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 77 mata

 

CP115

1 Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 15:29.993s

2 Ahmad Syukran Aizat (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 15:30.301s

3 Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 15:31.807s

4 Md Syafiq Rosli (PRK) M-Seki Liberty Honda Racing 15:38.655s

5 Azroy Hakeem Anuar (KUL) GiVi Honda Yuzy Racing Team 15:42.116s

 

Kedudukan Keseluruhan

1 Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 180 mata

2 Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 123 mata

3 Ahmad Syukran Aizat (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 114 mata

4 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 78 mata

5 Nazirul Izzat Md Bahauddin (MLK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 70 mata

, , ,