Walaupun berdepan jadual perlumbaan padat, Md Zaqhwan Zaidi bersedia untuk tampil dengan aksi terbaik dalam saingan CP150 pada Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor pada 3 dan 4 Mei ini.
Pelumba negara itu melalui lima pusingan perlumbaan berturut-turut bermula 6 dan 7 April lepas sewaktu menyertai pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Seluruh Jepun MFJ (AJRC) di Motegi, Jepun diikuti pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix di Batu Kawan pada minggu berikutnya.
Selepas itu Zaqhwan kembali ke Jepun bagi menyertai pusingan kedua AJRC di Suzuka dan kemudian terus ke Australia bagi menyertai pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia di The Bend Motorsports Park.
Pada minggu ini, Zaqhwan kembali memperkuatkan barisan pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing dalam saiingan kelas perdana dalam usaha untuk kembali ke podium dan mengekalkan gelaran keseluruhan berpasukan yang dihuni mereka ketika ini.
“Tak dinafikan, keadaan fizikal ketika ini agak penat setelah mengharungi empat perlumbaan berturut-turut dan lokasi perlumbaan yang jauh tetapi saya tidak mahu menjadikan ia sebagai satu alasan untuk tidak memberikan yang terbaik di Tangkak minggu ini,†jelas Zaqhwan yang menamatkan saingan di tempat ketujuh di Litar Tangkak pada tahun 2017.
Tambahnya, “Apa yang paling penting, saya perlu cepat untuk mendapatkan rentak dan keserasian dengan jentera memandangkan dua perlumbaan sebelum ini saya beraksi dalam kategori 1000cc.
“Kalau dilihat pada keputusan sepanjang dua musim lepas, jentera Yamaha memiliki banyak kelebihan di Litar Tangkak, jadi kami perlu bekerja lebih keras dan saya harap jentera dalam keadaan terbaik. Kami perlu mengekalkan momentum dan kedudukan ketika ini sebagai bekalan sebelum saingan berehat panjang sempena bulan puasa dan raya nanti.â€