Sementara itu, di kategori CP125, pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, Md Izam Ikmal Izamli melakar kemenangan hatrik dalam perlumbaan pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu.
Sesi “Shoot Out” yang berlangsung pada waktu pagi tadi telah menempatkan Md Izam Ikmal Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING di petak grid pertama selepas beliau mencatatkan masa terpantas pada 50:574s, pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Md Syamil Amsyar Md Iffende yang mencatat 50:951s bermula di petak grid kedua dan Danial Johan dari ONEXOX TKKR RACING TEAM di petak ketiga pada 51:172s.
Perlumbaan bermula dengan Syamil mendahului perlumbaan dengan Danial mengekori di belakang dan Md Izam Ikmal Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING di P3.
Persaingan semakin sengit dengan pelumba Izam berjaya memintas Syamil dan Danial untuk mengetuai kumpulan di P1 pada puisngan ke-4.
Pada pusingan ke-9, Md Afizi Supaat dari ONEXOX TKKR RACING TEAM memintas Syamil untuk berada di P2, dan rakan sepasukannya, Danial turut berjaya memintas Syamil di P3.
Pada pusingan ke-13, perebutan P1 semakin mendebarkan apabila Afizi terus mengekori rapat di belakang Izam menyaksikan dua pelumba itu meninggalkan kumpulan sekurang-kurangnya 3 saat di belakang.
Pada pusingan terakhir, Izam meningkatkan pecutannya sekaligus berjaya melepasi garisan penamat pada 12’53:462s untuk memenangi perlumbaan.
Izam berkongsi: “Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pasukan saya. Pada permulaan perlumbaan, saya bermula agak lewat kerana saya agak gementar. Sepanjang perlumbaan, saya hanya mengikuti rentak pelumba-pelumba lain. Namun, saya percaya kelajuan saya lebih baik di sini, jadi selekoh demi selekoh, saya berusaha memintas pelumba di hadapan saya. Pada pusingan kedua, saya berjaya menduduki tempat pertama dan mengekalkan rentak saya hingga ke akhir perlumbaan. Syukur alhamdulillah, saya berjaya memenangi perlumbaan ini, dan ini adalah rezeki untuk anak saya.”
Tempat kedua jatuh ke tangan Afizi dengan catatan masa 12’55:130s.
Syamil pula mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 12’59:452s.