“Walaupun bermusuh di atas trek, kami tetap satu keluarga yang memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada satu sama lain” itu ungkapan pemilik pasukan CKJ Racing, Che Ku Junaidi Che Ku Sin yang mengahwinkan dua anak perempuannya kepada dua pelumba tempatan terkenal, Azroy Hakeem Anuar dan Kasma Daniel Kasmayuddin.
CKJ Racing Team bukanlah nama asing dalam dunia kejohanan PETRONAS Malayian Cub Prix. Pasukan yang berpangkalan di Kemaman, Terengganu itu berkecimpung dalam sukan permotoran berprestij negara itu hampir 14 tahun dan ditaja sepenuhnya oleh PETRONAS-YAMAHA lebih sedekad.
Apatah lagi pencapaian mereka membuktikan pasukan tersebut berada di kelas tersendiri dalam arena Malaysian Cub Prix!
Sudah pasti ia bukan sesuatu yang mudah untuk kekal lama dengan pencapaian yang menakjubkan sekaligus mendapat tajaan penuh ‘Giant Factory’ seperti Petronas-Yamaha di medan yang cukup kompetitif ini bersama-sama pasukan industri. Terang lagi suluh, CKJ Racing yang mencipta satu legasi harus diteruskan turun-temurun.
Menambahkan lagi semangat keluarga CKJ, dua anak menantunya juga terlibat dalam dunia permotoran. Walaupun berlainan pasukan ia tetap memberi tonik kepada kerana masing-masing cemerlang dalam bidang yang diceburinya.
“Pada awalnya saya kata tak nak sebab pelumba dan kita tahu betapa bahaya berada dalam sukan ini. Tetapi jodoh adalah ketentuan Allah dan kami serahkan kepada Allah. Berkembang lagi lah keluarga kami bukan sahaja pertalian persaudaraan tetapi dari segi ilmu pengetahuan sukan permotoran juga berkembang. Walaupun berlainan pasukan jika tengok dari segi komuniti kami masih satu keluarga yang mempunyai minat mendalam terhadap sukan permotoran.
“Saya pun sebagai pemilik pasukan perlu input-input daripada pelumba, memandangkan dua menantu saya adalah pelumba walaupun berlainan pasukan saya boleh dapatkan pandangan mereka. Insyallah ia adalah satu gabungan yang bagus untuk ke depan lagi.
“Sokongan tetap sama. Saya sentiasa doakan mereka selamat di atas litar mahupun di luar litar dan mencapai kejayaan yang mereka ingini. Kita boleh bincang bersama, beri pandangan tetapi strategi pasukan adalah bagi pasukan masing-masing. Selain itu, kita kena adil. Jika sesuatu perkara itu betul ia betul, kalau salah ia tetap salah tanpa kira siapa.” katanya.
Walaupun masih belum ada perancangan masa depan bersama-sama anak menantu, Che Ku Junaidi meluahkan keinginannya keluarganya akan melebarkan sayap ke tahap yang lebih tinggi mahupun antarabangsa suatu hari nanti.
“Bila ada menantu pelumba, mungkin mereka boleh bawa pasukan ini ke mana yang saya tak nampak. Ada masanya saya tidak nampak sesuatu peluang tetapi mereka ada ideanya untuk mengembangkan lagi, Insyallah. Baru-baru ini Azroy dan Kasma dapat berlumba di MotoGP Malaysia dalam kategori Moto2. Saya sangat bersyukur. Mesti mereka menimba pengalaman yang berharga.
“Pasukan CKJ ini dimulakan hanya kerana hobi. Selepas itu jadi bisnes kami dan siapa tahu dengan adanya mereka, dengan pengalaman mereka, mereka boleh membawa jauh pasukan ini seperti Datuk Razlan, Insyallah” katanya.
Sementara, isteri kepada pelumba pasukan Honda Yuzy Idemitsu, Azroy Hakeem Anuar menyifatkan mendirikan rumah tangga bersama seorang pelumba bukanlah susah jika memahami rutin kehidupan mereka.
“Walaupun saya hanya tahu sedikit sebanyak mengenai perlumbaan dan itupun mengenali dunia permotoran sebab selalu ikut ayah pergi tengok perlumbaan, saya rasa tidak mustahil untuk hidup bersama dengan pelumba. Cuma kena lebih memahami rutin mereka. Mereka kurang masa bersama keluarga adalah benar. Kalau nak bercuti atau balik kampung pun kami kena tengok jadual dia (Azroy) dulu dan selalunya seminggu sebelum perlumbaan kami tak akan ke mana-mana sebab dia akan ada rutin kecergasan diri.
“Ada masanya dia akan rasa kurang bersemangat jika keputusan tidak menyebelahi dia. Ada juga masa yang dia malas nak pergi bersukan dan masa itu saya memang akan ‘push’ dia untuk pergi sebab dia perlukan stamina untuk mengendali jenteranya,” kata Alia yang jatuh cinta dengan balasan senyuman Azroy di litar. Senada dengan ayahnya, Alia juga menyatakan sokongan daripadanya kepada ayah dan suami tetap sama walaupun berlainan pasukan. Dengan tambahnya seorang lagi pelumba sebagai ahli keluarga iaitu Kasma, Alia menyifatkan berkembang lagi legasi mereka dalam dunia permotoran.

