Drama kibaran dua bendera merah, insiden kemalangan berantai, serta keadaan cuaca hujan lebat mengiringi perlumbaan epik yang menobatkan Md Helmi Azman dari pasukan TAB SPORTS SCK HONDA RACING sebagai juara kategori CP150 sempena Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Permotoran Terengganu, hari ini.
Sejurus perlumbaan bermula, Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR dan Helmi berlumba bersebelahan demi merebut posisi pendahulu. Selepas melepasi selekoh pertama, Helmi bertindak cemerlang melebarkan jurang dan meninggalkan Kasma sedikit di belakang. Terdapat insiden berlaku dan menyaksikan bendera merah pertama dikibarkan dan perlumbaan diberhentikan serta-merta.
Saingan kemudiannya dimulakan semula dengan baki 14 pusingan di bawah keadaan cuaca yang mula mendung. Helmi cemerlang mengekalkan rentaknya untuk memimpin perlumbaan, namun Kasma mempamerkan taringnya apabila pantas memintas Helmi pada pusingan kedua. Pertarungan kelompok hadapan menjadi semakin panas dengan Helmi enggan mengalah, malah berjaya mencetak masa terpantas 49.721s pada pusingan keempat. Sementara itu, litar terus menuntut mangsa apabila pelumba seperti Md Farish Hafiy Farid Sezli dari IDEMITSU HONDA YAM RACING dan Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, serta empat pelumba lain pada pusingan keenam terkeluar dari saingan akibat terjatuh. Tragedi ini membuka peluang buat Md Irfan Haykhal Amidi dari TAB SPORTS SCK HONDA RACING dan Danial Syahmi Ahmad Shahril dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR melonjak ke kedudukan kelompok lima terbaik.
Kemuncak aksi meletus pada pusingan kesembilan apabila Helmi bangkit melancarkan asakan berani untuk merampas semula takhta pendahulu daripada Kasma. Rentak saling berbalas serangan terus mendominasi litar terutamanya pada pusingan ke-12 dan hujan lebat tiba-tiba turun membasahi litar, memaksa penganjur mengibarkan bendera merah kedua sekaligus menamatkan perlumbaan lebih awal atas faktor keselamatan.
Berdasarkan peraturan, keputusan muktamad ditentukan mengikut kedudukan pelumba pada pusingan ke-11. Situasi ini mengesahkan kemenangan mutlak berpihak kepada Helmi dengan catatan masa 9’17.171s. Kasma terpaksa akur di tempat kedua menerusi catatan 9’17.390s. Irfan pula melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga menerusi masa 9’21.544s.
Helmi berkata, “Perlumbaan tadi agak mencabar pada waktu permulaan, terutamanya apabila semua pelumba bersaing sengit merebut posisi di hadapan. Namun, saya cuba melakukan yang terbaik untuk segera melepaskan diri daripada kesesakan tersebut dan mula kekal di hadapan. Syukur, percaturan itu menjadi.”
TOP 5 FASTEST – RACE
- MD HELMI AZMAN – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (9’17.171s)
- KASMA DANIEL KASMAYUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (9’17.390s)
- MD IRFAN HAYKHAL AMIDI – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (9’21.544s)
- MD HAZIQ MD FAIRUES – IDEMITSU HONDA YAM RACING (9’21.717s)
- DANIAL SYAHMI AHMAD SHAHRIL – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (9’21.981s)

