HAZIQ AKHIRI PENANTIAN KEMENANGAN

Pusingan 2 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 bagi kategori CP150 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara) menyajikan perlumbaan sengit dari awal, namun Md Haziq Md Fairues dari IDEMITSU HONDA YAM RACING muncul pemenang dalam aksi yang cukup dramatik itu.

Bermula dari petak grid kompetitif selepas sesi Super Pole, perlumbaan terus meledak seawal pusingan pembukaan apabila Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR mengetuai perlumbaan, namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila Md Fareez Afeez Abd Rahman dari MOTUL YAMAHA YY PANG RACING TEAM serta Nazirul Izzat Md Bahauddin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR turut merapatkan diri dalam kelompok hadapan.

Seawal lap kedua, perlumbaan mula berubah rentak apabila Md Amirul Ariff Musa dari TAB SPORTS SCK HONDA RACING mengambil alih pendahuluan, diikuti rapat Md Farish Hafiy Farid Sezli dan beberapa pelumba lain yang membentuk kelompok besar di hadapan, menjadikan perlumbaan semakin sukar diramal.

Kasma kembali bangkit pada lap ketiga untuk merampas semula kedudukan pendahulu, namun tekanan berterusan daripada Amirul dan Abdullah Qayyum A Razak dari MOTUL YAMAHA YY PANG RACING TEAM memastikan tiada ruang untuk selesa di hadapan. Pertarungan semakin sengit apabila Qayyum pula mengetuai perlumbaan pada lap keempat, dengan kumpulan hadapan kini dipenuhi lebih lima pelumba dalam jarak rapat.

Lap kelima dan keenam menyaksikan situasi terus berubah dengan Hafiy, Muhammad Helmi Azman dari TAB SPORTS SCK HONDA RACING dan Qayyum saling berganti kedudukan di depan, sementara masa terpantas 1’21.951s yang dicatat Helmi menambah tekanan kepada kelompok utama. Perlumbaan ketika itu kekal terbuka dengan setiap selekoh menyaksikan pertukaran posisi.

Masuk ke fasa pertengahan, Md Muzakkir Mohamed dari VOGE RACING TEAM muncul mengetuai perlumbaan pada lap kesembilan, sebelum Md Irfan Haykhal Amidi dari TAB SPORTS SCK HONDA RACING dan beberapa pelumba lain kembali mengambil alih pada lap seterusnya menyaksikan kelompok hadapan menjadi medan pertempuran lebih daripada lapan pelumba yang berpotensi menang.

Pada lap terakhir, Irfan mendahului, diikuti Afizi, Nazirul dan Hafiy, dengan perlumbaan seakan menuju penamat di tangan beberapa nama. Namun, segalanya berubah di selekoh terakhir apabila Azroy Hakeem Anuar dari HONDA CASTROL POWER 1 YUZY RACING dan Amirul kedua-duanya terjatuh, membuka ruang kepada perubahan besar di saat akhir.

Dalam kekalutan itu, Md Haziq Md Fairues tampil sebagai pemenang selepas melepasi garisan penamat dengan catatan 15’23.122s, hanya 0.006s di hadapan Md Iqbal Amri Abdul Malek dari AHM MOTOR SPORTS KM+ RACING LUBE yang mencatat 15’23.128s. Tempat ketiga menjadi milik Helmi dengan catatan masa 15’23.165s.

Haziq berkata, “Ini perlumbaan yang sangat di luar jangkaan bagi saya, kerana sebelum ini saya tidak pernah bersaing dalam keadaan semua pelumba berada dalam satu kelompok rapat seperti ini. Pada awal perlumbaan, saya cuba untuk kekal di hadapan dan menamatkan perlumbaan di tempat pertama, tetapi saya jatuh ke beberapa posisi di belakang kerana terlalu ramai pelumba yang bertarung rapat. Pada lap terakhir, saya merasakan tuah menyebelahi saya di selekoh terakhir apabila ada pelumba melakukan kesilapan dan terkeluar laluan (overshot). Ketika itu saya melihat hanya ada lima pelumba di hadapan, dan saya rasa itu adalah peluang terbaik untuk cuba merebut kemenangan. Terima kasih kepada pasukan dan keluarga. Penantian selama tiga tahun tanpa kemenangan akhirnya tidak sia-sia. Kemenangan ini saya dedikasikan kepada semua yang sentiasa berada di belakang saya memberi sokongan tanpa henti.”

TOP 5 FASTEST – FINAL RACE

  1. MD HAZIQ MD FAIRUES – IDEMITSU HONDA YAM RACING (15’23.122s)
  2. MD IQBAL AMRI ABDUL MALEK – AHM MOTOR SPORTS KM+ RACING LUBE (15’23.128s)
  3. MUHAMMAD HELMI AZMAN – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (15’23.165s)
  4. MD FARISH HAFIY FARID SEZLI – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (15’23.215s)
  5. AHMAD AFIF AMRAN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (15’23.253s)